PERSAHABATAN FUTSAL WANITA: MALAYSIA 2 VIETNAM 9

Skuad futsal wanita Malaysia kendalian jurulatih Chiew Chun Yong tewas 9-2 kepada Vietnam pada perlawanan persahabatan di Stadium Kompleks Sukan Negara (Panasonic), Shah Alam, petang semalam.

Nguyen Thi Thanh membuka tirai jaringan untuk Vietnam pada minit ke-3 sebelum Masturah Majid menyamakan kedudukan pada minit ke-6. Fatin Shahida Azmi meletakkan pasukan negara di hadapan dengan gol pada minit ke- 8.

Pasukan pelawat menjaringkan gol penyamaan menerusi Thai Thi Tao pada minit ke-9 sebelum menambah empat gol menerusi hatrik Le Thi Thuy Linh dan Nguyen Thi Thanh untuk babak pertama berakhir 6-2.

Babak kedua, Vietnam menambah tiga gol menerusi Thi Huyen Linh, Pham Thi Tuoi dan Trinh Nguyen Thanh Hang untuk kedudukan akhir 9-2.

Ia perlawanan persahabatan pertama skuad futsal wanita negara sejak berkumpul untuk kem latihan pusat terakhir bermula 1 September lalu membabitkan 20 pemain sehingga Sabtu ini (19 September).

Malaysia bakal beraksi pada perlawanan persahabatan menentang Vietnam di Stadium Kompleks Sukan Negara (Panasonic), Shah Alam, esok (18 September).

KOMEN JURULATIH SKUAD FUTSAL WANITA KEBANGSAAN CHIEW CHUN YONG

“Bagi saya, kita perlu memantapkan pasukan dari segi aspek ball-possession dan perlu mencari rentak permainan dengan lebih pantas lagi. 

"Walaupun babak pertama didominasi Vietnam, kita berjaya menunjukkan sedikit kemajuan pada babak kedua di mana kita mempunyai beberapa peluang untuk menjaringkan gol yang tidak disudahkan.

“Untuk perlawanan Jumaat ini, kita juga akan menumpukan lebih perhatian kepada aspek taktikal dan juga interception untuk mengganggu rentak pasukan lawan.”

J Category: 
article/futsal