PERSAHABATAN: GUANGZHOU EVERGRANDE 0-3 MALAYSIA B-22

2017-06-15

Skuad B-22 kebangsaan, Projek Sukan SEA 2017 kendalian Datuk Ong Kim Swee menamatkan siri perlawanan persahabatan di China dengan nota kemenangan selepas berjaya menewaskan pasukan simpanan kelab Liga Super China, Guangzhou Evergrande FC 3-0, petang tadi.

 Terdahulu skuad Kim Swee tewas tipis 1-0 kepada China B-22 pada perlawanan persahabatan pertama di Xiangtan pada 10 Jun lalu sebelum bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengikat pasukan simpanan Guangzhou R&F FC 2-2, petang kelmarin.

 Pada aksi yang berlangsung di Pusat Latihan Bola Sepak Baining, Guangzhou, petang tadi, skuad B-22 kebangsaan mendahului 1-0 pada separuh masa pertama menerusi jaringan Jafri Firdaus Chew pada minit ke-33 sebelum menambah dua lagi gol pada penghujung babak kedua menerusi Syafiq Ahmad (m-77) dan N Thanabalan (m-89).

 Kim Swee melakukan enam pertukaran berbanding kesebelasan ketika bertemu Guangzhou R&F FC dengan kembali mempertaruhkan tonggak utama seperti kapten, Adib Zainudin, Syamer Kutty Abba dan Syazwan Andik Ishak selain meletakkan penjaga gol Haziq Nadzli, Tommy Mawat Bada dan Sean Eugene Selvaraj.

 Ancaman awal skuad B-22 kebangsaan bermula menerusi percubaan luar kotak penalti Syamer Kutty yang berjaya diselamatkan penjaga gol Guangzhou Evergrande, Liu Weiguo pada minit ketujuh diikuti percubaan kaki kanan Syazwan Andik dalam kotak penalti yang berjaya ditepis keluar Weiguo pada minit ke-24.

 Gol pertama skuad B-22 kebangsaan akhirnya menjelma pada minit ke-33 menerusi hantaran cantik Danial Amier Norhisham dari tengah yang berjaya disudahkan menerusi sepakan lencong menarik oleh Jafri yang gagal diselamatkan Weiguo.

 Jafri hampir berjaya menambah jaringan pada minit ke-40, namun penyerang Pulau Pinang itu sedikit lewat untuk menguis masuk bola hantaran Sean Eugene dari sebelah kanan.

 Peluang terbaik Guangzhou Evergrande untuk menyamakan kedudukan hadir pada minit ke-42 tetapi percubaan Ye Guochen di depan pintu sekadar tinggi melewati palang gol.

 Bersambung babak kedua, jurulatih Guangzhou Evergrande, Chang Weiwei melakukan terus sembilan pertukaran bagi memberi peluang kepada pemain lain dalam skuadnya untuk menguji skuad B-22 kebangsaan.

 Sementara Kim Swee mula melakukan pertukaran bermula minit ke-60 dengan membawa masuk Thanabalan, Syazwan Zaipol Bahari dan Amirul Hisyam Awang Kechik disusuli penjaring dua gol ketika bertemu Guangzhou R&F FC, Safawi Rasid, 10 minit berselang.

 Pada minit ke-76, tandukan Syafiq selepas sepakan percuma Syazwan Zaipol sekadar singgah ke palang gol Guangzhou Evergrande.

 Namun Syafiq akhirnya berjaya juga meletakkan namanya dalam senarai penjaring selepas menolak masuk bola lantunan di depan pintu gol berpunca daripada tandukan awal Jafri yang terkena tiang untuk gol kedua skuad B-22 kebangsaan pada minit ke-77 menewaskan penjaga gol gantian, Liu Shibo.

 Thanabalan kemudian melengkapkan kemenangan bergaya skuad B-22 kebangsaan apabila tenang menyudahkan peluang dalam kotak penalti untuk gol ketiga pada minit ke-89.

 Skuad Projek Sukan SEA 2017 ini akan berlepas pulang ke tanah air, tengah hari esok dan menyambung kem latihan pusat untuk satu lagi perlawanan persahabatan terakhir bertemu pasukan Liga Super Melaka di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 22 Jun ini sebelum pemain dilepaskan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

 

GUANGZHOU EVERGRANDE FC: 51-Liu Weiguo (C); 47-Wu Yue, 46-Zheng Yiming, 52-Guan Haojin, 43-Wen Haojun; 44-Chen Quanjiang, 42-Wang Rui, 45-Li Geng, 41-Zhu Fu; 53-Ye Guochen, 56-Li Zhongyi.

MALAYSIA B-22: 1-Haziq Nadzli; 5-Adib Zainudin (C), 17-Irfan Zakaria (3-Syazwan Zaipol Bahari 60'), 9-Adam Nor Azlin; 13-Tommy Mawat Bada (12-N Thanabalan 60'), 6-Danial Amier Norhisham, 14-Syamer Kutty Abba (7-Amirul Hisyam Awang Kechik 60'), 21-Syazwan Andik Ishak (18-K Kannan 85'); 23-Syafiq Ahmad (4-L Kalaiharasan 85'), 11-Jafri Firdaus Chew, 15-Sean Eugene Selvaraj (16-Safawi Rasid 70').

 

KOMEN KETUA JURULATIH MALAYSIA B-22, DATUK ONG KIM SWEE

"Matlamat kita untuk ke China melalui beberapa perlawanan persahabatan bagi saya telah tercapai seperti saya inginkan di mana pertama, saya dapat melihat kesemua pemain yang diturunkan beraksi dan hari ini apabila bermain dengan Guangzhou Evergrande, saya menurunkan kesebelasan terbaik kecuali kita mempunyai beberapa (masalah) kecederaan yang tidak begitu serius seperti S Kumaahran dan Syahmi Safari yang tak dapat diturunkan.

 Namun, pemain yang diturunkan membuktikan mereka boleh beraksi dengan cukup baik terutama tidak dibolosi pada separuh masa kedua, membuktikan juga kita mampu bermain dengan lebih baik terutama gerakan-gerakan di hadapan pintu gol yang cukup efektif.

 Ini memberi banyak pandangan yang perlu saya lakukan apabila kita kembali ke tanah air nanti tetapi kemenangan ini bukan bermakna kita telah mencipta satu kejayaan cukup baik kerana bagi saya ini masih lagi dalam satu proses pembinaan dan yang penting kita perlu kekalkan prestasi kita, memperbaiki lagi kelemahan sebelum kita bermain dengan Melaka United pada 22 Jun nanti.

 Saya percaya pasukan paling kuat kita beraksi adalah skuad B-22 China dan juga dua perlawanan bertemu Guangzhou R&F  dan Guangzhou Evergrande ini merupakan pasukan cukup baik di mana mereka memberikan kita saingan cukup padu terutama daripada segi fizikal.

 Mungkin saya boleh katakan pemain-pemain 'core' (utama) kita dikenalpasti sepanjang tiga perlawanan di sini, namun kita masih lagi mempunyai masa selama sebulan sebelum Kelayakan B-23 AFC di mana sambung latihan di Kuala Lumpur dan satu perlawanan persahabatan dengan Melaka dan selepas itu kita akan panggil semula (pemain-pemain) pada awal Julai untuk persediaan kita dalam Kelayakan B-23 AFC."