PERSAHABATAN: MALAYSIA B-16 0-1 ARAB SAUDI B-16

2016-08-10

Skuad B-16 negara kendalian P Somasundram tewas 1-0 kepada Arab Saudi B-16 pada perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, petang semalam.

 Biarpun menguasai permainan dan beroleh beberapa peluang terbaik menerusi Muhammad Nizarruddin Jazi, Muhammad Izreen Izwandy dan Muhammad Amirul Husaini Zamri, gawang skuad negara akhirnya dibolosi Arab Saudi menerusi penyudah Mohammad Mansur pada minit ke-86.

 Perlawanan ini sebahagian persiapan awal skuad negara sebelum beraksi pada pusingan akhir Kejuaraan B-16 AFC 2016 yang bakal berlangsung di Goa, India dari 15 September hingga 2 Oktober ini.

 Malaysia yang diundi dalam Kumpulan C akan bertemu Oman pada 16 September, Iraq pada 19 September dan Korea Selatan pada 22 September, di mana dua pasukan teratas akan layak ke suku akhir.

 Arab Saudi pula diletakkan dalam Kumpulan A bersama tuan rumah India, Iran dan UAE pada saingan yang disertai 16 pasukan terbaik Asia itu.

 

 Berikut komen Somasundram selepas perlawanan, petang semalam:

 "Pertamanya, saya berasakan ini satu persembahan yang lebih baik ditunjukkan para pemain berbanding ketika kita beraksi di Kejuaraan B-16 AFF 2016 di Phnom Penh, Kemboja, bulan lalu (Malaysia gagal ke separuh akhir).

 "Lagipun bukan mudah buat pemain selepas mereka baru saja beraksi menentang Melaka pada perlawanan Piala Belia 2016 di Gambang, Ahad lalu dan hanya berehat sehari sebelum menghadapi Arab Saudi ini. Tapi mereka tetap memberikan yang terbaik.

 "Perkara utama yang saya lihat, kita terlampau banyak melepaskan peluang terhidang dan ini satu kerugian besar kepada pasukan. Sebenarnya jika dikira peluang-peluang terhidang, kita boleh mendapat beberapa gol tetapi penyudah agak tumpul.

 "Jadi ini yang saya perlu perbaiki dan tingkatkan dalam sesi latihan selepas ini.

 "Tapi secara keseluruhan, satu permainan yang seimbang. Arab Saudi pun memberikan tekanan yang baik terhadap pasukan kita.

 "Satu perlawanan persiapan yang baik menjelang Kejuaraan B-16 AFC 2016 dan harap persembahan lebih baik pada tiga aksi persahabatan selepas ini bertemu UAE pada 27 Ogos, Korea Utara (29 Ogos) dan Uzbekistan (2 September), semuanya dijadual berlangsung di negara ini."

 

Skuad B-16 negara yang mewakili pasukan Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) B-16 dalam saingan Piala Belia 2016 telah muncul pasukan pertama mengesahkan tempat ke suku akhir pada Ahad lalu dan perlu mengharungi empat lagi perlawanan untuk melengkapkan saingan peringkat kumpulan.

 SSMP B-16 akan bertemu Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) B-17 pada Jumaat ini (12 Ogos) dan MISC-MIFA pada Ahad ini (14 Ogos), kedua-duanya di Gambang sebelum melengkapkan aksi Kumpulan B berdepan JDT IV di Skudai (18 Ogos) dan Kuala Lumpur di UPM, Serdang (21 Ogos).

KESEBELASAN MALAYSIA B-16 LWN ARAB SAUDI B-16:

(Depan, dari kiri): Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau, Muhammad A'sif Maszarry, Muhammad Amirul Husaini Zamri, Muhammad Nizarruddin Jazi, Muhamad Aiman Mohd Zaidi.

(Belakang, dari kiri): Muhammad Izreen Izwandy, Nor Amirul Awang, Zainul Arifin Ahmad Latifi, Muhammad Firdaus Irman Mohd Fadhil (PG), Arham Khussyairi Ab Wahab, Muhamad Feroz Baharudin (KP).