PIALA BELIA 2016 MEDAN PENDEDAHAN SSMP B-17

2016-01-28

Pasukan bola sepak Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) Bawah 17 Tahun (B-17) tidak mahu meletakkan sasaran terlalu tinggi pada saingan Piala Belia 2016 yang bakal bermula 28 Februari ini.

 Ketua jurulatih SSMP B-17, Mohd Khalid Shahdan berkata, kebanyakan pemain di kalangan barisan 20 pemainnya ketika ini terdiri daripada muka baharu yang kini berada di Tingkatan 5 sekolah berkenaan.

 "Tahun lalu, saya berjaya membawa pasukan SSMP B-17 muncul naib juara Piala Belia 2015. Dalam saingan secara liga sepusingan membabitkan pasukan B-19 dari negeri-negeri lain itu, kami hanya tewas sekali daripada 14 perlawanan tetapi disebabkan empat kali seri, kami sekadar di tangga kedua, enam mata di belakang Selangor.

 "Saya dapat meletakkan sasaran tinggi pada saingan Piala Belia musim lalu kerana ketika itu skuad SSMP B-17 dibarisi ramai bekas pemain skuad B-16 negara kendalian S Balachandran yang layak ke suku akhir Kejuaraan B-16 AFC 2014.

 "Tapi untuk saingan Piala Belia 2016 ini, saya mempertaruhkan pemain-pemain baharu dan kami agak kekurangan pemain apabila hanya mempunyai 20 pemain setakat ini akibat beberapa kekangan dan masalah kecederaan.

 "Jadi saya tidak mahu beri tekanan dengan meletakkan sasaran terlalu tinggi buat mereka ini. Penyertaan kami pada Piala Belia 2016 ini lebih kepada pendedahan pemain sebagai persiapan menghadapi Kelayakan Kejuaraan B-19 AFC 2018 yang akan bermula tahun depan," kata Khalid kepada www.fam.org.my.

 Jelas Khalid, barisan skuad negara yang akan beraksi pada saingan kelayakan itu nanti adalah gabungan pemain-pemain dari Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), SSMP serta beberapa pemain dari sekolah sukan negeri yang lain.

 "Tahun ini, SSMP B-17 tiada sebarang kejohanan antarabangsa, jadi fokus kami hanyalah Piala Belia 2016 untuk saya menilai mana-mana pemain yang dianggap menyerlah untuk diserapkan dalam skuad negara menghadapi Kelayakan Kejuaraan B-19 AFC 2018 pada tahun depan," tambah Khalid.

 Skuad SSMP B-17 baru memasuki minggu keempat persiapan pramusim mereka sejak 4 Januari lalu di Gambang dan sudah mengharungi dua aksi persahabatan bertemu skuad SSMP B-16 kendalian P Somasundram dan sebuah kelab tempatan di Pahang.

 "Program latihan harian kami ialah sebelah pagi dan petang pada Isnin dan Selasa. Tiada latihan pada Rabu kerana ada aktiviti kokurikulum sekolah. Khamis latihan pagi dan petang manakala kebiasaan latihan Jumaat dan Sabtu hanya satu sesi," jelas Khalid, 52, yang dibantu penolong jurulatihnya, Mohd Zerry Nazeri, 34.

 

SENARAI PEMAIN SSMP B-17

1 MUHAMMAD IMRAN BIN MUHAMMAD
2 MUHAMAD ALIF HAIQAL BIN YUSRI
3 MOHAMMAD BIN JOHAN
4 MUHAMAD FIRDAUS BIN ANUAR
5 MUHAMMAD FIRDAUS BIN MD ANI
6 MUHAMMAD FIKHRI BIN ZULKIFLEE
7 NIK MUHAMMAD ADAM FITRI BIN NIK SOH
8 AHMAD BASARI BIN BUANG
9 MUHAMMAD ZHAFIR BIN MOHD YUSOFF
10 MUHAMMAD SYAZWAN BIN MOHD YUSOFF
11 WAN ALIF SYAZRIL BIN WAN MOHAMAD ALI
12 MUHAMMAD IRFAN BIN MOHD EZRAL
13 MUHAMMAD NUR HAKIMI BIN RAMLI
14 HAZIQ RAHIMI BIN ISKANDAR
15 MOHAMAD FITRI BIN AZHAR
16 MUHAMMAD RABBANI BIN ROS ROMZI
17 MUHAMMAD AZRUL BIN JAFFRI
18 MUHAMMAD AZFAR ARIF BIN MOHD SUKRI
19 SAIFUL ISKANDAR ADHA BIN SAIFUL AZLAN
20 NAUFAL IRFAN BIN NORZAM