PIALA BELIA 2017: SSMP B-17, TERENGGANU MENANG AKSI SEPARUH AKHIR PERTAMA DI GELANGGANG LAWAN

2017-10-01

Juara Kumpulan A, Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) B-17 meneruskan rentak cemerlang selepas berjaya mencatat kemenangan selesa 2-0 ke atas Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) B-17 pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Belia 2017, petang semalam.

 Pada aksi di Padang B, SSTMI, Bandar Penawar itu, SSMP B-17 kendalian P Somasundram yang menyingkirkan naib juara musim lalu, Selangor pada suku akhir berjaya memperoleh bekalan dua gol menerusi jaringan Alif Safwan Sallahuddin pada minit ke-42 dan sepakan penalti Arif Shaqirin Suhaimi pada minit ke-76.

 Ia pasti satu tugas berat buat SSTMI B-17 bimbingan M Kaviarasu yang menduduki tangga ketiga Kumpulan A dan mengetepikan naib juara Kumpulan B, Kuala Lumpur pada suku akhir sebelum ini untuk kembali bangkit pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Mini SSMP, Gambang pada Khamis, 5 Oktober ini.

 Sementara itu, pada satu lagi aksi separuh akhir pertama di Stadium UUM, Sintok, Kedah, pasukan Terengganu kendalian Subri Sulong yang sebelum ini mengejutkan juara Kumpulan B, Felda United pada suku akhir berjaya mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas pasukan tuan rumah, Kedah bimbingan Mohamad Ramlee.

 Gol tunggal Terengganu dijaringkan Isa Raman pada minit ke-38 untuk membolehkan pasukan yang sekadar menduduki tempat keempat Kumpulan A itu membawa bekalan bagi berdepan Kedah, naib juara Kumpulan A sekali lagi pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada Khamis, 5 Oktober ini.

 Final dijadual berlangsung secara timbal balik pada 11 dan 16 Oktober ini.

 

KEPUTUSAN SEPARUH AKHIR 1

SABTU, 30 SEPTEMBER 2017

 

SSTMI (B-17) 0

SSMP (B-17) 2

Alif Safwan Sallahuddin 42' Arif Shaqirin Suhaimi 76'-P

 

KEDAH 0

TERENGGANU 1

Isa Raman 38'