PIALA BELIA: SELANGOR RAPAT JURANG; SSMP B-16 DEKATI FELDA UNITED

2016-06-06

Juara bertahan, Selangor berjaya meraih tiga mata daripada dua perlawanan yang tertinggal sebelum ini untuk merapatkan jurang mata dengan dua pasukan teratas Kumpulan A dalam saingan Piala Belia 2016.

 Sementara dalam saingan Kumpulan B, pasukan Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) B-16 berjaya menambah empat mata daripada dua aksi 'tertunggak' untuk mengekori rapat pendahulu, Felda United.

 Bagi saingan Kumpulan A, Selangor kendalian Noor Zaidi Rohmat terlepas peluang awal menambah mata selepas tewas 2-1 kepada Pahang di Padang SUK, Shah Alam pada 26 Mei lalu, namun berjaya bangkit menewaskan Perak 3-2 di gelanggang sama pada aksi berlangsung 30 Mei lalu.

 Dengan keputusan itu, Sabah kekal pendahulu dengan 31 mata diikuti Kedah (30), Selangor (28), Pulau Pinang (23), Pahang (22) dan Perak (21) untuk enam kedudukan teratas Kumpulan A selepas 14 perlawanan.

 Bagi saingan Kumpulan B pula, Felda United kendalian Ahmad Shahrul Azhar Sofian gagal melebarkan jurang mata di tangga teratas selepas tewas 2-1 kepada pasukan tangga kedua, SSMP B-16 di Stadium Mini BSN, Bangi pada 29 Mei lalu.

 SSMP B-16 yang dibimbing P Somasundram bagaimanapun gagal merapatkan lagi jurang mata dengan Felda United selepas mereka sekadar seri 0-0 dengan Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada 1 Jun lalu.

 Mengekori rapat di tangga ketiga, Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) B-17 kendalian Reduan Abdullah yang berjaya meraih tiga mata penuh menewaskan pasukan kedua tercorot, MISC-MIFA 4-1 di Padang D, MSN Bukit Jalil, petang semalam.

 Selepas 14 perlawanan, Felda United kekal di tangga teratas Kumpulan B dengan 31 mata diikuti SSMP B-16 dengan 26 mata dan SSBJ B-17 dengan 24 mata. Namun SSMP B-16 dan SSBJ B-17 masih kurang dua perlawanan berbanding Felda United.

 Kelantan pula naik satu kedudukan ke tangga keempat dengan 22 mata selepas meraih dua mata tambahan apabila mencatat dua keputusan seri 0-0 dengan Kuala Lumpur di Stadium UPM, Serdang pada 25 Mei dan SSMP B-16 di Kota Bharu pada 1 Jun.

 Kuala Lumpur turut naik satu anak tangga ke kedudukan kelima, juga dengan 22 mata selepas berjaya menambah empat mata menerusi keputusan seri 0-0 dengan Kelantan dan kemenangan 2-0 ke atas pasukan tercorot, ATM di Stadium UKM, Bangi pada 29 Mei.

 Selepas dipintas Kelantan dan Kuala Lumpur, Johor Darul Ta'zim (JDT) IV kini terpaksa turun dua tangga ke kedudukan keenam, kekal dengan 21 mata.

 Masih terdapat tiga lagi perlawanan 'tertunggak' dalam Kumpulan B membabitkan aksi SSMP B-16 lwn SSBJ B-17, SSMP B-16 lwn ATM dan Kelantan lwn SSBJ B-17 yang tarikhnya akan dimaklumkan kemudian.

 Selepas berehat panjang untuk memberi laluan kepada bulan Ramadan dan temasya Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak, perlawanan seterusnya untuk saingan Piala Belia iaitu perlawanan ke-15 akan berlangsung pada Ahad, 7 Ogos.

 

KEPUTUSAN PENUH PERLAWANAN DIPINDA/DITUNDA

 

KUMPULAN A

 

26 MEI 2016

SELANGOR 1

D Kugan 40'

PAHANG 2

Mohamad Haikal Hasbul 16'

Muhammad Nur Izzat Che Awang 90+2'

 

30 MEI 2016

SELANGOR 3

Muhammad Nor Iman Mazlan 1'

Muhamad Azizul Baharuddin 27' 53'

PERAK 2

Muhammad Khairul Amizan Suhaimi 68'

Mohamad Arshad Mazlan 72'

 

KUMPULAN B

 

25 MEI 2016

KUALA LUMPUR 0

KELANTAN 0

 

29 MEI 2016

KUALA LUMPUR 2

Muhammad Shahrul Naim Ayob (gs) 5'

Muhammad Afzal Akbar 15'

ATM 0

 

29 MEI 2016

FELDA UNITED 1

Ahmad Zulhilmi Januaal 67'

SSMP (B-16) 2

Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau 68' 85'

 

1 JUN 2016

KELANTAN 0

SSMP (B-16) 0

 

5 JUN 2016

SSBJ (B-17) 4

Mohamad Arieffahmie Mohd Azam 60' 90+3'

Muhamad Nazirul Hasif Mallang 66'

Muhammad Nurfais Johari 82'

MISC-MIFA 1

R Kelvin 68'