PIALA FAM 2017: SHAHZAN MUDA, UKM FC, FELCRA & SIME DARBY SAMA HANDAL AKSI SEPARUH AKHIR PERTAMA

2017-10-03

Perebutan dua slot automatik layak ke saingan Liga Premier 2018 semakin hangat selepas kedua-dua aksi separuh akhir pertama Piala FAM 2017, malam tadi berlangsung sengit dan berakhir dengan keputusan seri 0-0.

 Peluang masih terbuka buat empat pasukan - Shahzan Muda FC, UKM FC, Felcra FC dan Sime Darby FC merebut dua slot ke pentas final meskipun UKM FC dan Sime Darby FC dilihat sedikit berkelebihan kerana bakal menjadi tuan rumah bagi aksi separuh akhir kedua, Ahad ini (8 Oktober).

 Di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, Shahzan Muda FC bimbingan Tajuddin Nor yang mencipta kejutan menyingkirkan semifinalis musim lalu, PJ Rangers pada suku akhir gagal membawa kelebihan gol ke tempat lawan selepas terikat 0-0 dengan juara Kumpulan A, UKM FC kendalian Sulaiman Hussin.

 Di Stadium Arena UM, Kuala Lumpur, tuan rumah Felcra FC kendalian Rosle Md Derus yang menang tipis ke atas Terengganu City FC pada suku akhir turut gagal meraih kelebihan selepas diikat seri 0-0 oleh juara Kumpulan B, Sime Darby FC yang dibimbing Ahmad Yusoff.

 Aksi separuh akhir kedua pada Ahad ini menyaksikan UKM FC menanti kunjungan Shahzan Muda FC di Stadium Mini UKM, Bangi manakala Sime Darby FC menanti kehadiran Felcra FC di Padang Bukit Jelutong, Shah Alam dengan sepak mula kedua-dua perlawanan jam 4.15 petang.

 Final timbal balik bagi saingan Piala FAM 2017 dijadual pada 15 dan 22 Oktober ini.

KREDIT FOTO: Facebook Felcra F.C - Football Club

 

KEPUTUSAN SEPARUH AKHIR 1

ISNIN, 2 OKTOBER 2017

 

SHAHZAN MUDA FC 0

UKM FC 0

 

FELCRA FC 0

SIME DARBY FC 0