PIALA FAM: FELCRA FC IDAM SLOT LIGA PREMIER

2016-02-27

Sekadar mengakhiri Liga FAM 2015 di tangga ketujuh Kumpulan A, Felcra FC bertekad untuk menebus kehampaan musim lepas.

Tahun ini, Felcra FC turut mendapat sentuhan ketua jurulatih yang dilabel sebagai ‘arkitek’ di sebalik kejayaan pasukan Perlis kembali ke Liga Premier musim ini, Yusri Che Lah.

Ketua jurulatih baharu skuad The Rival yang cukup terkenal dengan corak permainan menyerang itu yakin dapat membawa pasukan Piala FAM itu beraksi di pentas Liga Premier 2017.

“Sasaran pasukan dan sasaran peribadi saya selaku jurulatih pada musim ini ialah untuk layak ke Liga Premier. Dengan barisan pemain yang saya ada musim ini, saya yakin dapat menerapkan corak menyerang dengan lebih baik lagi,” kata Yusri kepada www.fam.org.my.

Pengendali yang bakal genap berusia 39 tahun pada 29 April ini berkata gandingan muka baharu dan berpengalaman mampu untuk menghadirkan kejayaan buat Felcra FC yang turut dibarisi enam pemain berpengalaman; Shahrulnizam Mustapa, 35, Azizi Mat Rose, 35, Azi Shahril Azmi, 31, Fazliata Taib, 31, Shahrizal Saad, 29 dan Fadzli Saari, 33.

“Kebanyakan pemain dalam pasukan saya musim ini rata-rata berusia 24 tahun ke bawah di mana saya lihat kehadiran enam pemain berpengalaman ini sebagai pembimbing kepada pemain-pemain muda bagi menghadapi saingan liga musim ini,” jelas Yusri.

Menyentuh mengenai pemilihan bekas rakan sepasukannya di Perak, Shahrulnizam Mustapa selaku ketua pasukan, Yusri berkata keputusan berkenaan dibuat berdasarkan sifat kepimpinan dan juga faktor pengalaman bekas pemain pertahanan kebangsaan itu.

“Saya lihat beliau sebagai pemain berpengalaman dan mempunyai kredibiliti yang tinggi sebagai seorang ketua serta pilihan yang tepat untuk membimbing pasukan di atas padang,” katanya.

Setelah melihat anak buahnya memberi tentangan hebat kepada pasukan Singa Utara pada kekalahan tipis 1-0 aksi pusingan kedua Piala FA, Jumaat lepas, Yusri mensasarkan keputusan positif pada aksi pembuka tirai Piala FAM menentang Megah Murni FC, Ahad ini.

“Pada perlawanan pusingan kedua Piala FA menentang Perlis, saya nampak persembahan yang cukup memberangsangkan daripada para pemain. Jadi, saya harapkan keputusan positif menentang Megah Murni FC,” ulas bekas pemain tengah kebangsaan itu.

Felcra FC telah diundi dalam Kumpulan A saingan Piala FAM 2016 bersama naib juara Kumpulan B Liga FAM musim lepas, MISC-MIFA, AirAsia Allstars FC, Persatuan Bolasepak Ipoh, Megah Murni FC, Sungai Ara FC, DYS FC, Shahzan Muda FC dan Penjara FC.

FOTO KREDIT: ASIANA.MY