PIALA FAM: FELCRA FC KEKAL TERATAS KUMPULAN A

2016-05-09

Pertembungan antara dua pasukan teratas Kumpulan A saingan Piala FAM 2016, Felcra FC dan MISC-MIFA di Stadium Hang Tuah, Melaka, semalam berkesudahan seri 2-2.

Pemain perancang Felcra FC, Mohd Faiz Mohd Nasir membuka tirai jaringan seawal minit ke-7 sebelum penyerang MISC-MIFA, G Thipenraj menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-24. Skuad kendalian Yusri Che Lah kemudiannya terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada babak kedua selepas bekas pemain pertahanan kebangsaan, Azizi Mat Rose dilayangkan kad merah pada minit ke-52.

Kelebihan itu digunakan sepenuhnya oleh pasukan pelawat yang berjaya menjaringkan gol penyamaan menerusi jaringan bek tengah, B Tinagaran pada minit ke-55. Keputusan itu menyaksikan Felcra FC terus gah selaku pendahulu dengan 25 mata tatkala MISC-MIFA kekal di tangga kedua dengan 20 mata.

Di Stadium Shah Alam, Selangor, AirAsia Allstars FC berjaya bangkit dari keputusan seri menentang Megah Murni FC minggu lepas apabila menumpaskan Persatuan Bolasepak Ipoh 1-0 menerusi jaringan tunggal penyerang, Mohd Zamri Hassan pada minit ke-11. Kemenangan itu membolehkan skuad bimbingan P Maniam melonjak ke tangga ketiga dengan mengumpul 16 mata.

Di Stadium Mini USIM, Nilai, Penjara FC dan Shahzan Muda FC terpaksa akur berkongsi mata setelah terikat 1-1. Skuad kendalian Abdul Rahim Abdullah terlebih dahulu menjaringkan gol menerusi Mohd Syawal Rudin Abd Rahim pada minit ke-40 sebelum Mohd Firdaus Razak menjaringkan gol penyamaan buat pasukan pelawat pada minit ke-48. Keputusan tersebut menyaksikan The Dolphins kekal di tangga kelima dengan 15 mata.

Pada satu lagi aksi Kumpulan A, DYS FC tumpas 1-2 kepada Megah Murni FC di laman sendiri, Kompleks Sukan Tawau, Sabah. Kumar Sithambram menjaringkan gol pendahuluan buat pasukan pelawat pada minit ke-19 sebelum DYS FC bangkit untuk menyamakan kedudukan menerusi gol jaringan Mohd Shahrul Asmadin pada minit ke-84. Namun, penyerang Mohd Badrul Hisyam menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-85 untuk membolehkan Megah Murni FC naik ke tangga ketujuh dengan 8 mata. 

KREDIT FOTO: MISC-MIFA 

 

KEPUTUSAN PENUH SEMALAM (8 MEI 2016)

 

KUMPULAN A

 

DYS FC 1

Mohd Shahrul Asmadin 84'

MEGAH MURNI FC 2

Kumar Sithambram 19'

Mohd Badrul Hisyam 85'

 

PENJARA FC 1

Mohd Syawal Rudin Abd Rahim 40’

SHAHZAN MUDA FC 1

Mohd Firdaus Razak 48’

 

AIRASIA ALLSTARS FC 1

Mohd Zamri Hassan 11’

PB IPOH 0

 

FELCRA FC 2

Mohd Faiz Mohd Nasir 7’

Muhd Hafizi Mat Podzi 42’

MISC-MIFA 2

G Thipenraj 24’

B Tinagaran 55’