2016-03-07
Skuad MISC-MIFA kendalian jurulatih Jacob Joseph terus melebarkan rekod kemenangan apabila membenam Megah Murni FC 2-0 di Stadium Mini USIM, Nilai, semalam.
Kemenangan kedua itu menyaksikan pasukan berkenaan kekal menerajui saingan Kumpulan A dengan pemain tengah M. Yoges muncul wira menjaringkan kedua-dua gol pada minit ke-2 dan minit ke-88 menerusi sepakan penalti.
Di Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya, Sungai Ara FC melakar kejutan ke atas pasukan tuan rumah, AirAsia Allstars FC (AAFC) 2-1.
Tampil mendahului hasil jaringan bekas penyerang Sarawak dan MOF FC, Zamri Morshidi pada minit ke-10, derita AAFC bermula pada separuh masa kedua.
Al-Hafiz Aziz Jaafar dan Mohamad Syamim Alif Mohd Sobri menjaringkan dua gol dalam tempoh tiga minit pada minit ke-61 dan minit ke-64 bagi membolehkan Sungai Ara FC menduduki tempat kedua saingan Kumpulan A.
Felcra FC turut mencatat kemenangan kedua berturut dengan menewaskan Shahzan Muda FC 1-0 di Stadium Hang Jebat, Melaka menerusi jaringan tunggal Muhammad Hafizi Mat Podzi pada minit ke-5.
Satu lagi perlawanan Kumpulan A, pendatang baharu, DYS FC terpaksa berpuas hati berkongsi mata dengan Penjara FC apabila seri 0-0 di Kompleks Sukan Tawau.
Sementara itu, saingan Kumpulan B didahului pasukan Kementerian Kewangan (MOF FC) yang mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas PB Melayu Malaysia di Stadium INSPEN, Bangi.
Kelebihan beraksi di tempat sendiri telah diambil sepenuhnya oleh skuad kendalian Zahasmi Ismail menerusi jaringan Wan Zaman Wan Mustapha (m-39), Mohd Halim Che Hassan (m-88) dan bekas pemain sayap kebangsaan, Mohd Nizad Ayub (m-90).
Di Stadium Mini UKM, Bangi, Kadazan Dusun Murut Malaysia (KDMM FC) tewas 3-0 kepada skuad UKM FC. Gol pasukan tuan rumah dijaringkan oleh Faiz Mohd Bandong (m-22), Mohd Nazri Muslim (m-29) dan gol sendiri Mohd Ashrafi Abdan (m-30).
Hanelang FC menebus kekecewaan tewas kepada PB Melayu Malaysia pada perlawanan pertama dengan menundukkan SAMB FC 1-0 di laman sendiri menerusi jaringan Mohd Hasrosyawal Hamid pada minit ke-88.
Satu lagi aksi Kumpulan B menyaksikan PKNP FC menewaskan MPKB-BRI UBES FC 2-1 di Stadium Perak, Ipoh menerusi dua gol jaringan penyerang berusia 23 tahun, Hamizul Izaidi Zulkifli pada minit ke-28 dan minit ke-35.
FOTO KREDIT: MISC-MIFA