PIALA FAM: MISC-MIFA RAPAT JURANG DENGAN FELCRA FC, PKNP FC KEKAL TERATAS

2016-05-16

MISC-MIFA berjaya merapatkan jurang dengan pendahulu Kumpulan A, Felcra FC setelah menewaskan DYS FC manakala Kelab Bolasepak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) terus kekal di tangga teratas Kumpulan B apabila seri dengan Kelab Bolasepak Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB-BRI UBES FC) pada saingan Piala FAM 2016, semalam.

Pendahulu Kumpulan A, Felcra FC terpaksa akur berkongsi mata dengan AirAsia Allstars FC apabila pertemuan di Stadium Shah Alam, Selangor itu berkesudahan seri 1-1. Keputusan itu menyaksikan skuad yang dibimbing Yusri Che Lah itu kekal selaku pendahulu dengan 26 mata daripada 11 perlawanan.

Di Kompleks Sukan Tawau, Sabah, pasukan tangga kedua, MISC-MIFA bimbingan Jacob Joseph memanfaatkan sepenuhnya peluang untuk merapatkan jurang dengan Felcra FC setelah menumpaskan pasukan tercorot, DYS FC 1-0 dan sekaligus mengumpul 23 mata daripada 10 perlawanan.

Di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, Sungai Ara FC pula tewas mengejut 1-2 kepada pasukan tangga ketujuh, Megah Murni FC di laman sendiri untuk kekal di tangga ketiga dengan 19 mata daripada 11 perlawanan.

Pada satu lagi aksi Kumpulan A, Persatuan Bolasepak Ipoh naik ke tangga kelapan selepas menewaskan Penjara FC 2-1 di Stadium Mini USIM, Nilai.

Sementara itu, bagi saingan Kumpulan B, PKNP FC kendalian Abu Bakar Fadzim terus kekal di tangga teratas dengan 21 mata daripada 9 perlawanan meskipun terikat 1-1 dengan MPKB-BRI UBES FC di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu semalam.

Pencabar terdekat, Kelab Bolasepak Kementerian Kewangan (MOF FC) pula terus mengekori rapat PKNP FC setelah menumpaskan pasukan tangga keenam, Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia 2-0 di Stadium Mini UKM, Bangi untuk mengumpul 17 mata daripada 9 perlawanan.

Di Stadium Hang Tuah, Melaka, pasukan tangga ketiga, Kelab Bolasepak Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB FC)  bimbingan Remeli Junit menewaskan pasukan tangga ketujuh, Hanelang FC 1-0.

Pada satu lagi aksi Kumpulan B yang berlangsung pada hari Sabtu (14 Mei 2016) di Stadium Keningau, Sabah,  pasukan tangga kelima, Kelab Bolasepak Kadazan Murut Malaysia (KDMM FC) mengikat pasukan tangga keempat, UKM FC 0-0.

KEPUTUSAN PENUH

KUMPULAN A

 

SUNGAI ARA FC 1

Mohd Saufi Mohd Ibrahim 89’

MEGAH MURNI FC 2

Gopi Vellasamy 25’

Nur Adli Effandi Mohd Pauzee 68’

 

PENJARA FC 1

Mohd Syawal Rudin 4’

PB IPOH 2

V Patmanathan 51’

R Surendren 76’

 

DYS FC 0

MISC-MIFA 1

M Tinaadkharan 82’

 

AIRASIA ALLSTARS 1

Muhammad Zamri Hassan 54’

FELCRA FC 1

Shahrizal Saad 37’

 

KUMPULAN B

 

KDMM FC 0

UKM FC 0

 

PB MELAYU MALAYSIA 0

MOF FC 2

Rudie Ramli 28’ 85’

 

MPKB-BRI UBES FC 1

Aliff Raziman Rahisam 5' 

PKNP FC 1

Muhammad Shahrel Fikri Fauzi 67' 

 

SAMB FC 1

Mohd Yusri Abas 45’ +1

HANELANG FC 0