PIALA FUTSAL KOMANWEL 2015: MALAYSIA 5-2 NEW ZEALAND

Malaysia meraih kemenangan kedua pada kempen Piala Futsal Komanwel 2015 di Wellington, New Zealand selepas berjaya menewaskan pasukan tuan rumah itu  5-2 pada perlawanan kedua di Pusat Sukan ASB, semalam (Sabtu).
 
 Pada aksi sulung, kelmarin (Jumaat), skuad negara kendalian Marcelo Serpa menewaskan Vanuatu 7-3.
 
 Semalam, biarpun ketinggalan menerusi jaringan awal New Zealand oleh Daniel Burns, Malaysia bangkit membalas dua gol menerusi Ahmad Fawzul Hadzir dan Saiful Nizam Mohd Ali untuk mendahului 2-1 pada babak pertama.
 
 Bersambung separuh masa kedua, Malaysia menambah dua lagi gol menerusi Amar Ashraf Abu Bakar dan Syed Aizad Daniel Syed Nasir sebelum New Zealand merapatkan jurang 4-2 hasil gol Luc Saker.
 
 Saiful Aula Ahmad memastikan tiga mata penuh milik Malaysia apabila berjaya menjaringkan gol kelima untuk kemenangan bergaya 5-2.
 
 Sementara itu, satu lagi perlawanan semalam menyaksikan Australia mudah membelasah Vanuatu 10-2.
 
 Selepas berakhir dua perlawanan, Australia dan Malaysia berkongsi dua kedudukan teratas dengan enam mata tetapi kelebihan perbezaan gol milik Australia diikuti New Zealand dan Vanuatu tanpa sebarang mata tetapi kelebihan perbezaan gol milik New Zealand.
 
 Perlawanan terakhir bagi kejohanan secara liga sepusingan ini akan berlangsung hari ini (Ahad) dengan New Zealand bertemu Vanuatu jam 12.30 tengah hari (waktu Malaysia) diikuti Malaysia bertemu Australia jam 2.30 petang.
 
KEDUDUKAN SELEPAS DUA PERLAWANAN
 
1. Australia 6 mata (+9)
2. Malaysia 6 mata (+7)
3. New Zealand 0 mata (-4)
4. Vanuatu 0 mata (-12)
 
* Perbezaan gol dalam kurungan
J Category: 
article/futsal