PIALA PRESIDEN: KEDAH TERAKHIR LAYAK; KELANTAN, PERAK JUARA KUMPULAN

2016-08-19

Juara bertahan, Kelantan dan juara 2014, Perak berjaya meraih tiga mata penuh pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan saingan Piala Presiden 2016, petang semalam untuk masing-masing muncul juara Kumpulan A dan B.

 Bagi saingan Kumpulan A, Kedah di bawah bimbingan Ian Gillan menjadi pasukan kelapan dan terakhir berjaya layak ke suku akhir selepas menewaskan pasukan tangga kelima, Felda United 2-1 di Stadium Mini USIM, Nilai.

 Kelantan kendalian Hashim Mustapha memastikan kedudukan tangga teratas Kumpulan A menjadi milik mereka selepas menewaskan pasukan tangga ketiga, Terengganu bimbingan Roshadi Wahab dengan jaringan 2-0 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

 Kemenangan Kelantan itu menyaksikan Johor Darul Ta'zim (JDT) III bimbingan Ervin Boban terpaksa akur untuk muncul naib juara Kumpulan A biarpun berjaya menewaskan Sarawak 2-1 di Stadium Negeri, Kuching.

 Selepas berakhir 18 perlawanan, Kelantan di tangga teratas Kumpulan A dengan kelebihan perbezaan gol biarpun mengumpul 38 mata, sama dengan pasukan tangga kedua, JDT III diikuti Terengganu dengan 34 mata dan Kedah 33 mata.

 Bagi saingan Kumpulan B pula, Perak kendalian Sayuddin Mohd Isa muncul juara selepas menewaskan Pahang bimbingan Fuz Zemi Ibrahim dengan jaringan 2-0 di Stadium Perak, Ipoh.

 Selangor di bawah bimbingan Omar Ali naik dua anak tangga untuk merampas tempat selaku naib juara Kumpulan B selepas meraih kemenangan tipis 3-2 ke atas Pulau Pinang di Stadium Bandaraya.

 T-Team kendalian Mohd Nafuzi Zain pula turun satu kedudukan ke tangga ketiga selepas tewas 1-0 kepada Kuala Lumpur di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

 Selepas 18 perlawanan, Perak di tangga teratas dengan 35 mata diikuti Selangor 32 mata, T-Team 31 mata dan Pahang 30 mata.

 Saingan peringkat kalah mati akan diteruskan selepas ini dengan perlawanan suku akhir timbal balik dijadual berlangsung pada 5 dan 26 September ini.

 Selaku juara Kumpulan A, Kelantan akan bertemu pasukan tangga keempat Kumpulan B, Pahang manakala naib juara Kumpulan A, JDT III akan berdepan pasukan tangga ketiga Kumpulan B, T-Team.

 Juara Kumpulan B, Perak pula akan menghadapi pasukan tangga keempat Kumpulan A, Kedah manakala naib juara Kumpulan B, Selangor bakal bertemu pasukan tangga ketiga Kumpulan A, Terengganu.

 

KEPUTUSAN PENUH SEMALAM

 

KUMPULAN A

 

KELANTAN 2

Muhamad Raihan Huzaizi 8'

Muhammad Danial Ashraf Abdullah 90+4'

TERENGGANU 0

 

SARAWAK 1

Awang Iskandar Awang Chek 58'

JDT III 2

Sean Gan Giannelli 36'

Mohamad Shafiqee Fitri Nor Azman 44'

 

PERLIS 0

UITM FC 3

(UiTM FC diberikan kemenangan percuma 3-0)

 

ATM 0

NEGERI SEMBILAN 2

Muhamad Danish Haziq Saipul Hisham 67'

Mohd Fauzi Abdul Latif 87'

 

FELDA UNITED 1

Muhamad Nurhalis Syafiq Mohamad Nizu (p) 38'

KEDAH 2

Aminuddin Abu Bakar 19'

Muhammad Fa'es Hafize Mohd Fadzil 62'

 

KUMPULAN B

 

PULAU PINANG 2

Abdul Qayyum Mohamed Jabrullah Khan 13'

Muhammad Jafri Firdaus Chew 84'

SELANGOR 3

Muhammad Syahmi Safari 33' 59'

Muhammad Faizzudin Mohd Abidin 90'

 

PKNS FC 3

R Thivagar 29' 32'

G Kalaiselvaan 58'

SABAH 0

 

MELAKA 0

PDRM 0

 

T-TEAM 0

KUALA LUMPUR 1

Muhammad Shahwal Fitri Mat Rodzi 71'

 

PERAK 2

Muhammad Izzat Mohd Ramlee 48'

G Ganiesh 58'

PAHANG 0

 

 

INFO: Suku akhir Piala Presiden 2016

 

(A1) Kelantan lwn Pahang (B4)

(A2) JDT III lwn T-Team (B3)

(A3) Terengganu lwn Selangor (B2)

(A4) Kedah lwn Perak (B1)

 

* Perlawanan timbal balik pada 5 & 26 September 2016