PIALA PRESIDEN: KELANTAN BANGKIT, T-TEAM SERI LAGI

2016-05-06

Juara bertahan dan pendahulu Kumpulan A, Kelantan bangkit daripada kekalahan sulung Isnin lalu apabila berjaya menewaskan Sarawak tatkala pendahulu Kumpulan B, T-Team seri lagi selepas diikat Sabah pada perlawanan ke-11 saingan Piala Presiden 2016, petang semalam.

 Bagi Kumpulan A, Kelantan kendalian Hashim Mustapha berjaya mencuri tiga mata penting dari tempat lawan selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Sarawak di Stadium Negeri, Kuching untuk kekal di tangga teratas dengan 26 mata, sekali gus menjarakkan tiga mata dengan pencabar terdekat.

 Johor Darul Ta'zim III berjaya melonjak ke tangga kedua selepas skuad bimbingan Ervin Boban itu menewaskan pasukan tercorot, ATM 2-1 di Stadium Mindef, Kuala Lumpur untuk mengumpul 23 mata, sama mata dengan Terengganu yang turun ke tangga ketiga selepas sekadar seri 1-1 dengan Perlis di Stadium Mini UniMAP, Pauh.

 Kedah kendalian Ian Gillan pula kekal di tangga keempat dengan 19 mata biarpun sekadar seri 0-0 dengan UiTM FC di Stadium UUM, Sintok selepas pasukan tangga kelima, Felda United tewas 1-0 kepada Negeri Sembilan bimbingan Ahmad Fairuz Mohd Yunus di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

 Sementara itu, bagi saingan Kumpulan B, T-Team di bawah kendalian Mohd Nafuzi Zain kini hanya berkelebihan dua mata di tangga teratas dengan 24 mata selepas tercicir mata buat kali kedua berturut-turut apabila seri 0-0 dengan Sabah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

 Perak semakin rapat mengekori T-Team di tangga kedua dengan 22 mata selepas berjaya menewaskan Kuala Lumpur 2-0 pada aksi di Stadium UKM, Bangi yang terpaksa disambung pada sebelah malam selepas terhenti pada minit ke-50 akibat hujan lebat dan petir.

 Pahang pula berjaya merampas tangga ketiga daripada PDRM selepas menewaskan skuad kendalian Ishak Kunju Mohamad itu dengan jaringan 1-0 di Padang Majlis Daerah Rompin, Muadzam Shah untuk Pahang yang dibimbing Fuz Zemi Ibrahim kini mengumpul 17 mata manakala PDRM kekal dengan 15 mata.

 Pulau Pinang kekal di tangga kelima selepas tewas 2-1 kepada PKNS FC di Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya manakala Selangor kendalian Omar Ali naik ke tangga keenam untuk berkongsi 13 mata dengan Pulau Pinang selepas berjaya menewaskan Melaka 3-2 pada aksi di Stadium Hang Tuah yang turut berakhir lewat apabila terhenti akibat hujan lebat dan petir.

 Perlawanan ke-12 akan berlangsung pada Khamis, 12 Mei 2016.

 

KEPUTUSAN PENUH SEMALAM

 

KUMPULAN A

 

SARAWAK 0

KELANTAN 1

Mohamad Fikram Mohamad 56'

 

PERLIS 1

Mohamad Shafiq Al-Hafiz Dawawi 5'

TERENGGANU 1

Muhd Fazirhikwan Mat Rani 13'

 

ATM 1

Mohamad Faiz Shanol 90+3'

JOHOR DARUL TA'ZIM III 2

Sean Gan Giannelli 68'

Mohammad Fahmi Faizal 75'

 

KEDAH 0

UITM FC 0

 

NEGERI SEMBILAN 1

Muhammad Khairulamirin Marzuky 90+3'

FELDA UNITED 0

 

KUMPULAN B

 

PKNS FC 2

R Thivagar 11' 58' (p)

PULAU PINANG 1

Muhammad Iqbal Muhammad 36'

 

MELAKA 2

Shahrul Fadhli Zamri 76'

Nazarudin Bohri 88'

SELANGOR 3

Muhammad Faizzudin Mohd Abidin 3' 9'

Muhammad Syahmi Safari 56'

 

T-TEAM 0

SABAH 0

 

PAHANG 1

Muhammad Adam Mohamad Zaki 60'

PDRM 0

 

KUALA LUMPUR 0

PERAK 2

Abdul Razak Mastor 23'

C Suwarnaraj 40'