PIALA PRESIDEN: KELANTAN KEKAL TERATAS, PERAK PINTAS T-TEAM

2016-05-13

Juara bertahan, Kelantan kekal sebagai pendahulu Kumpulan A selepas berjaya meraih tiga mata penuh di gelanggang sendiri pada perlawanan ke-12 saingan Piala Presiden 2016, petang semalam tatkala Perak kini bergelar peneraju baharu Kumpulan B selepas pendahulu sebelum ini, T-Team tumpas di tempat lawan.

 Bagi saingan Kumpulan A, Kelantan yang dibimbing Hashim Mustapha mencatat kemenangan kesembilan musim ini selepas mudah menewaskan Perlis 4-1 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu untuk kekal berkelebihan tiga mata di tangga teratas dengan 29 mata.

 Terengganu kendalian Roshadi Wahab merampas tangga kedua selepas menewaskan ATM 2-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu untuk kini mengumpul 26 mata, sekali gus menolak Johor Darul Ta'zim III turun ke tangga ketiga selepas skuad Ervin Boban itu seri 1-1 dengan Kedah di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang untuk kini dengan 24 mata.

 Felda United pula mengukuhkan kedudukan di tangga kelima, berkongsi 20 mata dengan pasukan tangga keempat, Kedah selepas anak buah Sazali Saidun itu berjaya mencatat kemenangan tipis 3-2 ke atas Sarawak di Stadium Mini USIM, Nilai.

 Satu lagi perlawanan menyaksikan UiTM FC berjaya meraih kemenangan ketiga musim ini dengan menewaskan Negeri Sembilan 2-1 di Stadium UiTM, Shah Alam.

 Sementara itu, bagi saingan Kumpulan B, Perak kendalian Sayuddin Mohd Isa berjaya merampas tangga teratas selepas meraih tiga mata penuh menewaskan PKNS FC 3-1 di Stadium Perak, Ipoh untuk kini mengumpul 25 mata, satu mata mengatasi pendahulu sebelum ini, T-Team.

 T-Team gagal mengekalkan prestasi baik sepanjang pusingan pertama sebelum ini apabila tewas 2-1 kepada Selangor di Padang SUK, Shah Alam selepas barisan kendalian Mohd Nafuzi Zain itu turut sekadar mencatat keputusan seri pada dua aksi berturut sebelum ini.

 Selangor kendalian Omar Ali yang menghuni kedudukan terbawah sepanjang pusingan pertama kini melonjak naik ke tangga kelima dengan 16 mata selepas meraih empat kemenangan berturut.

 Pahang kekal di tangga ketiga dengan 17 mata meskipun tidak beraksi semalam selepas aksi bertemu Sabah di Stadium Likas, Kota Kinabalu terpaksa dipinda ke tarikh lain selepas van dinaiki anak buah Fuz Zemi Ibrahim itu terlibat dalam kemalangan ketika mereka dalam perjalanan dari Kuantan ke KLIA, awal pagi kelmarin.

 Pulau Pinang naik satu anak tangga ke kedudukan keempat selepas berjaya menewaskan Melaka 3-2 di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang manakala penghuni tangga keempat sebelum ini, PDRM turun dua kedudukan selepas tewas 1-0 kepada Kuala Lumpur di Stadium Mini UPM, Serdang.

 Perlawanan ke-13 akan berlangsung pada Isnin ini, 16 Mei 2016.

 

KEPUTUSAN PENUH SEMALAM

 

KUMPULAN A

 

KELANTAN 4

Muhammad Danial Ashraf Abdullah 6'

Mohamad Faris Shah Mohd Rosli 14'

Muhamad Raihan Huzaizi 44'

Nik Azli Nik Alias 76'

PERLIS 1

Muhammad Redzuan Hasrin 59'

 

TERENGGANU 2

Mohamad Yusri Aiman Rani 18'

Muhd Fazirhikwan Mat Rani 21'

ATM 1

Mohd Fazillah Khamis 79'

 

JOHOR DARUL TA'ZIM III 1

Muhammad Syazwan Andik Mohd Ishak 45+2'

KEDAH 1

Muhammad Azryl Reza Zamri 14' (p)

 

UITM FC 2

Muhammad Fauzan Mohd Fauzi (gs) 26'

Zulkarnain Rosli 58'

NEGERI SEMBILAN 1

Sean Eugene Selvaraj 62'

 

FELDA UNITED 3

Muhamad Nurhalis Syafiq Mohamad Nizu 11'

Che Muhammad Syazwan Syafiq Che Mazelan 70'

Alif Afham Mustakim Abdul Hisham 76'

SARAWAK 2

Awang Kamaruddin Awg Bohan 34' 63'

 

KUMPULAN B

 

PULAU PINANG 3

Muhammad Jafri Firdaus Chew 77'

Muhammad Junaidi Shafiai 80' 90+4'

MELAKA 2

Shahrul Fadhli Zamri 11' 19'

 

SELANGOR 2

K Kannan 27'

Muhammad Faizzudin Mohd Abidin 45+1'

T-TEAM 1

Muhammad Mohd Faudzi 79'

 

PDRM 0

KUALA LUMPUR 1

Mohamad Syafiq Rizuan 83'

 

PERAK 3

Shafiq Azreen Sa'ari (gs) 1'

Muhammad Rizal Che Aziz 75'

E Paranitharan 78'

PKNS FC 1

Muhammad Asnan Awal Hisham 69'

 

SABAH lwn PAHANG

(Perlawanan dipinda ke tarikh lain)