PIALA PRESIDEN: KELANTAN, PERAK IRINGI T-TEAM KE SUKU AKHIR

2016-08-09

Juara bertahan, Kelantan dan Perak muncul dua pasukan terbaharu berjaya mengesahkan tempat ke suku akhir selepas meraih tiga mata penuh pada perlawanan ke-16 saingan Piala Presiden 2016, petang semalam.

 Ini menjadikan tiga pasukan sudah mengisi slot ke suku akhir selepas T-Team muncul pasukan pertama berjaya layak pada Khamis lalu, sekali gus hanya baki lima lagi slot menjadi buruan menjelang dua perlawanan terakhir selepas ini.

 Bagi saingan Kumpulan A, Kelantan kendalian Hashim Mustapha akhirnya berjaya layak ke suku akhir apabila mudah membelasah UiTM FC 6-0 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu selepas mereka tewas mengejut 3-1 kepada Negeri Sembilan di Tampin, Khamis lalu.

 Berbekal 35 mata, Kelantan sudah tidak mampu lagi dipintas pasukan di tangga kelima, Felda United yang terus berusaha memburu slot empat teratas dengan 27 mata selepas berjaya menewaskan ATM 1-0 di Stadium Mini UPM, Serdang.

 Pasukan tangga kedua, Johor Darul Ta'zim (JDT) III bimbingan Ervin Boban masih memerlukan dua lagi mata untuk mengesahkan tempat ke suku akhir selepas sekadar seri 0-0 dengan pasukan tangga ketiga, Terengganu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin untuk kedua-dua pasukan kini mengumpul 32 dan 31 mata.

 Pasukan tangga keempat, Kedah gagal mengukuhkan kedudukan mata selepas sekadar seri 0-0 dengan Perlis Stadium Unimap, Pauh manakala Negeri Sembilan berjaya menewaskan Sarawak 1-0 di Stadium Negeri, Kuching untuk kekal di tangga keenam.

 Sementara itu, bagi saingan Kumpulan B, T-Team kendalian Mohd Nafuzi Zain terpaksa merelakan kedudukan tangga teratas dirampas Perak selepas mereka tewas 3-1 kepada skuad kendalian Sayuddin Mohd Isa itu di Stadium Perak, Ipoh.

 Pahang dan Selangor terus berusaha untuk memburu baki dua slot ke suku akhir selepas masing-masing berjaya meraih tiga mata penuh dengan Pahang menewaskan Melaka 5-2 di Stadium Hang Tuah manakala Selangor menundukkan Sabah 4-1 di Padang SUK, Shah Alam.

 PDRM pula kekal di tangga kelima selepas sekadar seri 1-1 dengan Pulau Pinang di Stadium Bandaraya sementara PKNS FC naik ke tangga keenam selepas menewaskan Kuala Lumpur 2-0 di Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya.

 Selepas 16 perlawanan, Perak di tangga teratas dengan 32 mata diikuti T-Team 31 mata, Pahang 26 mata, Selangor 25 mata dan PDRM 22 mata untuk lima kedudukan teratas. Namun Pahang dan Selangor kurang satu perlawanan.

 Perlawanan ke-17 akan berlangsung pada Khamis ini, 11 Ogos 2016 disusuli aksi Pahang bertemu Selangor di Padang A, Muadzam Shah pada 15 Ogos sebelum perlawanan terakhir peringkat kumpulan berlangsung pada 18 Ogos ini.

 

KEPUTUSAN PENUH SEMALAM

 

KUMPULAN A

 

KELANTAN 6

Muhammad Danial Ashraf Abdullah 33' 43' 79' 82'

Muhamad Raihan Huzaizi 41' 47'

UITM FC 0

 

TERENGGANU 0

JOHOR DARUL TA'ZIM III 0

 

SARAWAK 0

NEGERI SEMBILAN 1

Sean Eugene Selvaraj 46'

 

PERLIS 0

KEDAH 0

 

FELDA UNITED 1

Ahmad Azriddin Rosli 33'

ATM 0

 

KUMPULAN B

 

PULAU PINANG 1

Mohamed Syamer Kutty Abba 45+2'

PDRM 1

Izaaq Izhan Yuswardi 65'

 

SELANGOR 4

Muhammad Faizzudin Mohd Abidin 53'

Muhammad Amir Asyraf Azhari 57'

Ainol Iskandar Mahsun 72'

Mohamad Afiq Mohd Azam 87'

SABAH 1

Rahman Shah Marajeh 13'

 

PKNS FC 2

R Thivagar 30' 90'

KUALA LUMPUR 0

 

MELAKA 2

Muhammad Najmudin Samat 4' 53'

PAHANG 5

Muhammad Sharmin Izwan Mohd Suffian 13'

Muhammad Sharul Nizam M Nadzir 18'

Mohd Zul Hafiz Zulkifli 20'

Muhammad Zuhair Aizat Mohd Nazri 36'

Muhammad Suqry Jaafar Sidek 85'

 

PERAK 3

Muhammad Ikmal Abd Rahim 37'

Muhammad Aiedil Shafiq Aznan 74'

Abdul Razak Mastor 90'

T-TEAM 1

Muhamad Akram Asidi 56'