PIALA PRESIDEN: KELANTAN, T-TEAM BERENTAP DI FINAL

2016-10-12

Juara bertahan, Kelantan berjaya melangkah ke final Piala Presiden 2016 menerusi agregat 3-1 meskipun tewas 1-0 kepada Selangor pada perlawanan separuh akhir kedua di Padang SUK, Shah Alam, petang tadi.

 Berbekal kemenangan besar 3-0 pada aksi pertama di Kota Bharu pada 3 Oktober lalu, skuad kendalian Hashim Mustapha itu tetap ke final untuk berdepan T-Team pada 18 dan 25 Oktober ini.

 Pada aksi petang tadi, gol pendahuluan Selangor menerusi sepakan penalti Muhammad Faizzudin Mohd Abidin seawal minit ke-7 tampak menyemarakkan semangat anak buah Omar Ali itu.

 Namun dua lagi gol yang dicari untuk mengikat kedudukan agregat tidak dapat dihasilkan Selangor sehingga wisel penamat bagi merelakan Kelantan mara ke final.

 Sementara itu, satu lagi perlawanan separuh akhir kedua yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, petang tadi menyaksikan T-Team berjaya mengikat Perak 0-0 untuk melangkah ke final menerusi agregat 3-1.

 T-Team kendalian Mohd Nafuzi Zain beroleh bekalan selesa selepas berjaya menewaskan Perak 3-1 pada aksi pertama di Ipoh pada 3 Oktober lalu.

 Usaha Perak yang dibimbing Sayuddin Mohd Isa untuk mengejar defisit gol pada aksi petang tadi tidak kesampaian apabila mereka gagal memecah kekebalan benteng pertahanan T-Team.

 Bagi aksi final secara timbal balik nanti, Kelantan terlebih dahulu akan menanti kunjungan T-Team di Kota Bharu pada 18 Oktober sebelum bertandang ke Kuala Terengganu pada 25 Oktober ini.

 

KEPUTUSAN SEPARUH AKHIR KEDUA

 

SELANGOR 1

Muhammad Faizzudin Mohd Abidin 7' (P)

KELANTAN 0

* Kelantan layak menerusi agregat 3-1

 

T-TEAM 0

PERAK 0

* T-Team layak menerusi agregat 3-1