PIALA PRESIDEN: T-TEAM PASUKAN PERTAMA KE SUKU AKHIR

2016-08-05

T-Team kendalian Mohd Nafuzi Zain muncul pasukan pertama berjaya mengesahkan tempat ke saingan suku akhir Piala Presiden 2016 selepas membelasah pasukan tercorot Kumpulan B, Melaka 4-0 pada perlawanan ke-15 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, petang semalam.

 Berbaki tiga lagi perlawanan, T-Team yang kini mengumpul 31 mata sudah tidak mampu lagi dipintas pasukan di tangga kelima, PDRM yang memiliki 21 mata selepas berjaya menewaskan pasukan tangga keempat, Selangor 3-1 di Padang Pulapol, Kuala Lumpur.

 Pencabar terdekat T-Team, Perak bimbingan Sayuddin Mohd Isa kekal di tangga kedua dengan 29 mata selepas sekadar seri 1-1 dengan pasukan kedua tercorot, Sabah di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

 Pahang kendalian Fuz Zemi Ibrahim turut kekal di tangga ketiga tetapi gagal merapatkan jurang mata dengan dua pasukan teratas selepas tewas 2-1 kepada pasukan tangga ketujuh, PKNS FC di Padang A, Muadzam Shah.

 Satu lagi perlawanan menyaksikan Pulau Pinang kekal di tangga keenam dengan 19 mata selepas menewaskan pasukan tangga kelapan, Kuala Lumpur 2-1 di Stadium Bandaraya.

 Hanya empat pasukan teratas akan layak ke suku akhir dengan lapan pasukan masih berpeluang merebut tiga lagi slot bagi mengiringi T-Team manakala pasukan tercorot, Melaka sah tersingkir selepas kini hanya memiliki 12 mata berbaki tiga perlawanan.

 Sementara itu, bagi saingan Kumpulan A, juara bertahan yang juga pendahulu, Kelantan kendalian Hashim Mustapha menerima kejutan selepas tewas 3-1 kepada pasukan tangga keenam, Negeri Sembilan di Stadium Mini Tampin.

 Namun Kelantan sedikit lega apabila pasukan tangga kedua, Terengganu turut tercicir mata apabila sekadar seri 1-1 dengan UiTM FC di Stadium UiTM, Shah Alam.

 Ia bagaimanapun membuka ruang buat Johor Darul Ta'zim (JDT) III untuk memintas Terengganu di tangga kedua selepas berjaya mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Felda United di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang.

 Kedah pula berjaya naik satu anak tangga ke kedudukan keempat selepas meraih tiga mata penuh menewaskan Sarawak 2-0 di Stadium Mini UUM, Sintok.

 Dengan keputusan di atas, Kelantan kekal di tangga teratas dengan 32 mata diikuti JDT III dengan 31 mata, Terengganu 30 mata, Kedah 26 mata, Felda United 24 mata dan Negeri Sembilan 22 mata untuk enam pasukan teratas ini terus bersaing hebat memburu empat slot ke suku akhir.

 Baki empat pasukan - UiTM FC, Sarawak, Perlis dan ATM sudah sah tersingkir untuk ke suku akhir.

 Perlawanan seterusnya iaitu perlawanan ke-16 akan berlangsung pada Isnin ini, 8 Ogos 2016.

 

KEPUTUSAN PENUH SEMALAM

 

KUMPULAN A

 

NEGERI SEMBILAN 3

N Thanabalan 17'

Sean Eugene Selvaraj 68'

Muhamad Danish Haziq Saipul Hisham 79'

KELANTAN 1

Muhammad Nasharizam Ab Rashid 52'

 

UITM FC 1

Zulkarnain Rosli 4'

TERENGGANU 1

Muhamad Azrean Abd Aziz 44'

 

JOHOR DARUL TA'ZIM III 1

Shahwan Shaharudin (P) 6'

FELDA UNITED 0

 

KEDAH 2

Mohd Irwan Syazmin Wahab 47' 56'

SARAWAK 0

 

ATM 1

Khariol Azeman 84'

PERLIS 3

Mohd Ashraf Jamaludin 33'

Muhammad Aizzat Maidin Kotty 44'

Mohammad Syamirul Shahadidi 51'

 

KUMPULAN B

 

PULAU PINANG 2

Zul Fadzli Mat Rodi 8'

Mohamad Ramzee Othman 72'

KUALA LUMPUR 1

Mohamad Syafiq Rizuan 6'

 

PDRM 3

Haziq Fikri Hussein 75' 79'

Muhammad Farhan Ab Hamid 76'

SELANGOR 1

Muhammad Syahmi Safari 78'

 

SABAH 1

Rahman Shah Marajeh 21'

PERAK 1

S Dhaya Naidu 14'

 

PAHANG 1

Muhammad Zuhair Aizat Mohd Nazri 87'

PKNS FC 2

R Thivagar 10'

Muhammad Asnan Awal Hisham 90+1'

 

T-TEAM 4

Mohamad Azalinullah Muhamad Alias 4'

Muhammad Naqib Najwan Saufi 15'

Muhamad Akram Asidi 75' 77'

MELAKA 0