PIALA SUZUKI AFF 2016: MALAYSIA 0-1 VIETNAM

2016-11-23

Skuad kebangsaan, Harimau Malaysia gagal meneruskan rentak kemenangan selepas tewas 1-0 kepada Vietnam pada perlawanan kedua Kumpulan B saingan Piala Suzuki AFF 2016 di Stadium Thuwunna, Yangon, Myanmar, petang tadi.

 Namun peluang skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu untuk ke separuh akhir masih belum tertutup tetapi dengan syarat wajib untuk menewaskan tuan rumah, Myanmar pada perlawanan terakhir, Sabtu ini.

 Selepas menewaskan Kemboja 3-2 pada aksi sulung, Ahad lalu, skuad Harimau Malaysia gagal untuk sekurang-kurangnya mencuri satu mata daripada barisan bimbingan Nguyen Huu Thang itu selepas Vietnam akhirnya berjaya memperoleh gol kemenangan menerusi Nguyen Trong Hoang pada minit ke-80.

 Sementara itu, pada satu lagi perlawanan yang baru berakhir sebentar tadi, Myanmar yang tewas 2-1 kepada Vietnam pada aksi pembukaan berjaya meraih kemenangan pertama dengan menundukkan Kemboja 3-1.

 Selepas dua perlawanan Kumpulan B, Vietnam kini di tangga teratas dengan enam mata untuk sah ke separuh akhir diikuti Myanmar dan Malaysia yang berkongsi tiga mata (Myanmar memiliki kelebihan perbezaan gol berbanding Malaysia) manakala Kemboja tercorot tanpa sebarang mata.

 Bagi perlawanan terakhir pada Sabtu ini, Malaysia akan berdepan Myanmar di Stadium Thuwunna manakala Vietnam bertemu Kemboja di Stadium Wunna Theikdi, Nay Pyi Taw dengan sepak mula serentak jam 6 petang (7.30 malam waktu Malaysia).

 

MALAYSIA: 19-Khairul Fahmi Che Mat, 15-Rizal Ghazali, 5-Shahrom Kalam, 24-Ronny Harun, 2-Matthew Davies, 17-Amri Yahyah (C), 3-Shahrul Saad, 14, Ahmad Fakri Saarani (12-S Veenod 58'), 7-Baddrol Bakhtiar (18-Darren Lok 67'), 16-Syazwan Zainon (8-Zaquan Adha Abd Radzak 81'), 11-Ahmad Hazwan Bakri.

VIETNAM: 1-Tran Nguyen Manh, 2-Au Van Hoan, 3-Truong Dình Luat, 15-Que Ngoc Hai, 17-Vu Van Thanh, 8-Nguyen Trong Hoang, 14-Luong Xuan Truong (6-Vu Minh Tuan 90+4')), 7-Ngo Hoang Thinh, 18-Dinh Thanh Trung (11-Pham Thanh Luong 53'), 10-Nguyen Van Quyet (16-Nguyen Cong Phuong 63'), 9-Le Cong Vinh (C).

Pengadil: Kurbanov Charymurat (TKM)

 

 

KOMEN KETUA JURULATIH MALAYSIA, DATUK ONG KIM SWEE

"Sudah tentu satu keputusan yang cukup mengecewakan kerana kita telah bermain mengikut perancangan dan pemain sudah melakukan yang terbaik tetapi akhirnya kita tewas kepada pasukan yang lebih baik.

 "Vietnam berterusan mengasak dan mencuba sehingga menyebabkan kita akhirnya hilang konsentrasi dan berpunca salah seorang pemain kita gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya, Vietnam berjaya menjaringkan gol tunggal kemenangan.

 "Pemain juga nampak keletihan menuju penghujung perlawanan selepas kita terpaksa beraksi dua perlawanan berturut pada jam 3 petang.

 "Apa pun peluang untuk ke separuh akhir kini terletak di tangan kita sendiri dengan matlamat wajib untuk menewaskan Myanmar pada perlawanan terakhir, Sabtu ini.

 "Kita tak patut berasa tertekan, sebaliknya Myanmar yang patut lebih tertekan (beraksi di hadapan penyokong sendiri). Saya percaya, jika kita mahu layak, kita perlu tampil dengan aksi terbaik untuk menewaskan pasukan tuan rumah, Sabtu ini.

 "Berhubung isu boikot (berhubung kekejaman Myanmar terhadap etnik Rohingya), saya rasa saya tidak mahu komen apa-apa mengenainya. Ia tidak melibatkan bola sepak. Bola sepak adalah bola sepak."