PM4: Kedah, Selangor rampas tangga teratas

Kedah dan Selangor masing-masing berjaya merampas tangga teratas Kumpulan A dan C selepas menewaskan Lions XII dan Kelantan pada perlawanan keempat TM Piala Malaysia 2015, Jumaat lalu.
 
 Di Stadium Darul Aman, Kedah meraih tiga mata penuh selepas mengatasi Lions XII 2-0 untuk kini berkongsi tujuh mata dengan Lions XII tetapi di tangga teratas berdasar kelebihan perbezaan gol.
 
 JDT II kekal di tangga ketiga dengan empat mata manakala Terengganu tercorot dengan satu mata selepas pertembungan kedua-dua pasukan itu di Pasir Gudang pada Sabtu lalu ditunda akibat jerebu teruk.
 
 Selangor pula merampas tangga teratas Kumpulan C selepas berjaya menewaskan Kelantan 1-0 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu yang juga kemenangan pertama mereka ke atas Kelantan di gelanggang keramat itu selepas 13 tahun.
 
 Pendahulu Kumpulan C sebelum ini, Felda United terpaksa merelakan kedudukan mereka dirampas selepas tewas 2-1 kepada T-Team pada aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada Sabtu.
 
 Selepas empat perlawanan, Selangor kini mengumpul tujuh mata diikuti T-Team (6), Felda United (5) dan Kelantan (4).
 
 Sementara itu, kedudukan bagi Kumpulan B dan D tidak berubah selepas kesemua perlawanan membabitkan dua kumpulan ini ditunda akibat jerebu teruk.
 
 Perlawanan terlibat ialah ATM bertemu Sarawak di Paroi pada Sabtu, Perak bertemu JDT di Ipoh pada Ahad, PDRM bertemu Pahang di Shah Alam pada Sabtu dan PKNS FC bertemu Pulau Pinang di Selayang pada Sabtu.
 
 Tarikh baharu perlawanan yang ditunda itu akan diumum dalam masa terdekat.
 
 Saingan TM Piala Malaysia 2015 kini berehat selama dua minggu untuk memberi laluan kepada aksi antarabangsa membabitkan skuad kebangsaan dan akan disambung semula pada 17 Oktober ini.
 
 
KEPUTUSAN:
 
Kumpulan A
 
KEDAH 2
Chidi Edeh m-48 & m-78
LIONS XII 0
 
Kumpulan C
 
KELANTAN 0
SELANGOR 1
Mohd Noor Hazrul Mustafa (GS) m-19
 
T-TEAM 2
Sadriddin Abdullaev m-3,
Tomislav Busic m-62 (P)
FELDA UNITED 1
Zah Rahan Krangar m-39
 
J Category: 
uncategorised6