PREVIU PIALA BELIA 2016

2016-02-24

Saingan bawah 19 tahun (B-19) kebangsaan, Piala Belia 2016 bakal membuka tirainya pada Ahad ini, 28 Februari 2016 menampilkan penyertaan sebanyak 20 buah pasukan dengan lima perlawanan Kumpulan A dan lima perlawanan Kumpulan B.

 Selepas kali terakhir dijalankan secara liga peringkat kumpulan disusuli saingan kalah mati pada musim 2008, Piala Belia kemudian tidak dipertandingkan selama tiga tahun sebelum kembali dengan format secara karnival yang diadakan pada tahun 2012 di Kedah, 2013 di Pahang dan 2014 di Melaka.

 Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil inisiatif untuk menjadikan saingan Piala Belia lebih kompetitif pada tahun 2015 dengan format pertandingan secara liga sepusingan membabitkan 15 buah pasukan dan selepas berakhir 14 perlawanan, Selangor telah muncul juara dengan mengumpul 37 mata meninggalkan Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) B-17 di tangga kedua dengan 31 mata dan Kedah ketiga dengan 29 mata.

 Kini bagi saingan 2016 bermula Ahad ini, saingan Piala Belia kembali dijalankan secara liga dua pusingan untuk peringkat kumpulan dengan setiap pasukan bakal mengharungi 18 perlawanan untuk merebut empat tempat teratas setiap kumpulan bagi melayakkan diri ke pusingan kalah mati suku akhir, seterusnya separuh akhir dan final yang dijalankan secara timbal balik.

 Selain menjadi pentas buat pemain-pemain yang lahir pada tahun 1997 dan seterusnya, iaitu pemain berusia 19 tahun dan ke bawah, saingan Piala Belia 2016 turut menampilkan kelibat bekas-bekas pemain bola sepak tempatan yang kini mengambil alih peranan selaku jurulatih pasukan B-19 yang bertanding.

 Bagi Kumpulan A, juara bertahan Selangor kendalian Noor Zaidi Rohmat, 34, akan menanti kunjungan SSMP B-17 bimbingan bekas pemain kebangsaan dan Johor, Mohd Khalid Shahdan, 52, di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.

 Sabah kendalian bekas orang besi skuad utama mereka, Jelius Ating, 44, pula bakal memulakan cabaran bertemu Negeri Sembilan bimbingan Rahimmudin Abdul Rahman, 53, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

 Kedah di bawah jurulatih Roshidi Shaari, 59, dan dibantu bekas pemain negeri itu, Mohd Fauzie Nan, 36, akan berkunjung ke Stadium UiTM Arau untuk berdepan Perlis.

 Baki dua lagi perlawanan menyaksikan Perak kendalian Khairul Azuar Kamirun, 36, menanti kunjungan Sarawak bimbingan Pengiran Bala, 55, di Stadium Perak, Ipoh manakala Pahang di bawah jurulatih Muhammad Fahim Kow Abdullah, 37, melayan kehadiran Pulau Pinang bimbingan Faizal Abdul Halim, 40, di Stadium Majlis Daerah Pekan.

 Bagi Kumpulan B, Felda United yang membariskan barisan kejurulatih terdiri daripada bekas kapten skuad kebangsaan, Ahmad Shahrul Azhar Sofian, 45, dibantu Mohd Nor Ismail, 34, dan bekas penjaga gol, Othman Katmon, 46, bakal berdepan Melaka kendalian G Selvamohan, 58, dan dibantu Rashid Mamud, 38, di Stadium Mini UPM, Serdang.

 Kelantan di bawah kendalian gandingan bekas pemain Piala Dunia Remaja 1997, Tengku Hazman Raja Hassan, 39, selaku ketua jurulatih dan Nik Ahmad Fadly Nik Leh, 39, sebagai penolong jurulatih bakal menghadapi MISC-MIFA bimbingan jurulatih M Gopal, 48, di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

 Johor Darul Ta’zim IV pula yang dibimbing ketua jurulatih, Mohd Hamzani Omar, 38, serta dibantu Nazri Yunos, 44, dan Mohd Sany Fahmi, 38, berdepan tuan rumah, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kendalian Ahmad Nazrie Hassan, 35, di Padang Kem Terendak, Melaka.

 Terengganu kendalian Zakari Alias, 54, akan menentang Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) B-17 yang kini di bawah kendalian bekas jurulatih Harimau Muda B, Razip Ismail, 54, di Padang Sintetik Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu.

 Manakala pasukan SSMP B-16 kendalian jurulatih P Somasundram, 50, akan berdepan Kuala Lumpur bimbingan Zolkifli Samion, 51, di Stadium Mini SSMP, Gambang.

 Kesemua perlawanan sulung yang bakal berlangsung Ahad ini, sepak mulanya jam 4.45 petang.

 

JADUAL PIALA BELIA 2016

 

HARI PERLAWANAN 1

AHAD, 28 FEBRUARI 2016

 

KUMPULAN A

 

PERAK lwn SARAWAK

Stadium Perak, Ipoh, 4.45 petang

 

NEGERI SEMBILAN lwn SABAH

Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, 4.45 petang

 

PAHANG lwn PULAU PINANG

Padang Majlis Daerah Pekan, 4.45 petang

 

PERLIS lwn KEDAH

Stadium UiTM Perlis, Arau, 4,45 petang

 

SELANGOR lwn SSMP B-17

Stadium MBPJ, Kelana Jaya, 4,45 petang

 

KUMPULAN B

 

FELDA UNITED lwn MELAKA

Stadium Mini UPM, Serdang, 4.45 petang

 

SSMP B-16 lwn KUALA LUMPUR

Stadium Mini SSMP, Gambang, 4.45 petang

 

KELANTAN lwn MISC-MIFA

Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, 4.45 petang

 

ATM lwn JOHOR DARUL TA'ZIM IV

Padang Kem Terendak, Melaka, 4.45 petang

 

TERENGGANU lwn SSBJ B-17

Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, 4.45 petang