PREVIU PIALA FAM 2018 YANG BERMULA AHAD, 25 FEBRUARI 2018

2018-02-25

Saingan liga divisyen tiga kebangsaan, Piala FAM 2018 bakal membuka tirai saingannya pada Ahad, 25 Februari 2018 dengan menampilkan lima perlawanan - tiga perlawanan Kumpulan A dan dua perlawanan Kumpulan B.

Bagi saingan Kumpulan A, Selangor United yang sebelum ini menggunakan nama Persatuan Bolasepak Melayu Selangor (PBMS) akan memulakan kempen berdepan Kelab Sukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (KS DBKL) kendalian Razak Jaamadi di Stadium UM Arena, Kuala Lumpur.

Selangor United yang dibimbing bekas pemain Selangor, Talib Sulaiman menampilkan beberapa pemain berpengalaman antaranya penjaga gol, Redzuan Harun, Zamri Hassan, Hasmarul Fadzir Hassan, Adam See Kok Luen dan Yusaini Hafiz Chee Saad.

Pasukan yang mara ke suku akhir musim lalu, Kuching FA kendalian bekas pemain Sarawak, Ahmad Fairuz Mohd Yunus akan bertandang ke Kota Bharu untuk bertemu MPKB-BRI Ubes FC bimbingan Abdullah Muhammad.

Satu lagi pasukan yang kandas pada suku akhir musim lalu, MOF FC yang kini dibimbing Razip Ismail bakal menanti kunjungan pasukan yang jatuh dari Liga Premier musim lalu, ATM kendalian Azhar Abdullah.

MOF FC turut menampilkan beberapa pemain berpengalaman antaranya penjaga gol Jibrail Kamaron Baharin, Failee Ghazli, Famirul Asraf Sayuti dan Azmirul Azmi.

Satu lagi pasukan, Shahzan Muda kendalian Tajuddin Nor yang mara sehingga separuh akhir musim lalu tidak beraksi pada hari perlawanan pertama ini.

Sementara itu, bagi saingan Kumpulan B, pendatang baharu, D'AR Wanderers FC berdepan ujian getir apabila memulakan kempen bertemu Hanelang FC kendalian Ahmad Yusoff yang dibarisi ramai pemain berpengalaman.

Antaranya penjaga gol, Syamsuri Mustafa, Zairo Anuar Zalani, Faizol Hussain, Reeshafiq Alwi, Hasmizan Kamaroddin, Tuah Iskandar Jamaluddin, Shahrizal Saad, Ahmad Azlan Zainal dan Haris Safwan Kamal.

D'AR Wanderers FC  yang dikendalikan bekas penyerang Kelantan, Hashim Mustapha pula mempertaruhkan peledak utama Sime Darby FC musim lalu, Zul Fahmi Awang serta beberapa pemain lain antaranya Wan Aliff Wan Jasmi dan Tam Sheang Tsung.

Petaling Jaya Rangers FC (PJ Rangers) pula yang kandas pada suku akhir musim lalu akan bertemu pasukan yang turun dari Liga Premier, Perlis kendalian Manja Man.

PJ Rangers yang dibimbing bekas penolong jurulatih kebangsaan, Hassan Sazali Waras tampil lebih mantap musim ini apabila membawa masuk bekas pemain kebangsaan, Ronny Harun serta beberapa pemain lain seperti penjaga gol, Farhan Abu Bakar, Tommy Mawat Bada, Nur Shamie Iszuan, Shreen Tambi, Raslam Khan Abd Rashid dan A Thamil Arasu.

Terengganu City FC yang turut kandas pada suku akhir musim lalu kini dibimbing Md Noor Derus serta dibarisi antaranya penjaga gol, Sani Anuar Kamsani dan penyerang, Izzaq Faris Ramlan tidak beraksi pada hari perlawanan pertama ini.

Dua pendatang baharu, Marcerra United FC dan Young Fighters FC yang sepatutnya bertemu di Stadium USIM, Nilai terpaksa menunggu apabila perlawanan berkenaan ditangguhkan ke satu tarikh lain yang akan ditetapkan berikutan isu teknikal.

Marcerra United FC kendalian Ishak Kunju Mohamad dibarisi antaranya bekas pemain Terengganu, Ahmad Nordin Alias, bekas pemain Perak, Isma Alif Mohd Salim dan bekas penyerang Kuantan FA, Nabilah Khan Razali.

Young Fighters FC pula dibimbing Omar Ali, jurulatih yang membawa Selangor muncul juara Piala Presiden musim lalu.

Kesemua perlawanan hari ini sepak mula pada jam 8.45 malam.

Saingan peringkat kumpulan bagi Piala FAM 2018 akan berlangsung sebanyak 14 hari perlawanan (Ahad/Rabu) sehingga 29 Julai depan sebelum dua pasukan teratas setiap kumpulan akan layak ke peringkat kalah mati - separuh akhir (timbal balik) dan final (satu perlawanan di gelanggang berkecuali).

Dua pasukan yang layak ke final itu turut akan naik ke saingan Liga Premier 2019.