RANGKUMAN SIDANG MEDIA SELEPAS KONGRES TAHUNAN FAM KE-52

2016-09-15

Berikut adalah rangkuman sidang media oleh Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dato' Sri Haji Afandi Hamzah selepas Kongres Tahunan FAM Ke-52 yang dipengerusikannya di Hotel Hilton Petaling Jaya, pagi tadi.

 

1. Dato' Sri Haji Afandi yang membacakan titah ucapan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menyatakan bahawa Jawatankuasa Eksekutif FAM secara rasmi telah bersetuju untuk Kongres Tahunan FAM Ke-53 tahun depan akan diadakan sekali sebagai kongres pemilihan jawatan bagi barisan kepimpinan baharu FAM untuk penggal akan datang.

2. Tarikh Kongres Tahunan FAM Ke-53 itu akan ditetapkan pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM seterusnya yang dijadual pada bulan depan (Oktober). Ia adalah berdasarkan Statut FAM yang menyatakan bahawa tarikh kongres mestilah ditetapkan oleh Jawatankuasa Eksekutif FAM.

3. Kongres pemilihan ini adalah kongres tahunan biasa dan bukannya kongres luar biasa. Ini bermakna, dalam Kongres Tahunan FAM Ke-53 itu nanti akan diletakkan agenda pemilihan barisan kepimpinan Jawatankuasa Eksekutif FAM untuk tempoh empat tahun akan datang iaitu penggal 2017 hingga 2021.

4. Berhubung pemilihan jawatan Presiden FAM yang baharu, proses yang akan dilalui adalah seperti yang terkandung dalam Statut FAM iaitu selepas tarikh kongres ditetapkan, proses pencalonan mesti berlaku.

5. Mengikut Statut FAM, pencalonan mestilah datang daripada mana-mana ahli gabungan dengan calon-calonnya terbuka kepada sesiapa yang mempunyai pengalaman dan terlibat dalam aktiviti bola sepak. Apa yang penting, calon mestilah warganegara Malaysia dan perlu dicalonkan oleh sekurang-kurangnya satu ahli gabungan untuk layak menjadi calon bagi jawatan Presiden FAM.

6. Ini bermakna, selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM pada bulan depan, notis tiga bulan sekurang-kurangnya diperlukan untuk mengadakan kongres berkenaan dan dalam proses berkenaan, ada tempoh pencalonan perlu dikemukakan dan tempoh untuk individu yang dicalon bersetuju atau tidak, sehinggalah senarai akhir calon ditetapkan dan dibawa ke kongres untuk pemilihan dibuat oleh ahli-ahli gabungan. Ia proses yang telah ditetapkan dalam Statut FAM dan perlu dilalui.

7. Berhubung isu pendrive, FAM masih menunggu  laporan daripada SPRM dan sudah tentu apabila sudah diterima nanti, ia akan dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Integriti FAM untuk dibincangkan dan dibawa bagi perbincangan lanjut pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM yang akan datang.

8. Setiausaha Agung FAM, Dato' Haji Hamidin Haji Mohd Amin menjelaskan isu pemain skuad B-22 negara, Dominic Tan. Pengurus pasukan berkenaan, Dato' Rozabil Abd Rahman sudah berbincang dengannya dan atas beberapa alasan, Dominic telah diberi kebenaran untuk tidak beraksi pada perlawanan kedua menentang Bahrain B-22. Jika terdapat perbezaan pendapat antara pengurusan dan jurulatih dalam hal berkenaan, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Pasukan-Pasukan Kebangsaan yang akan datang.