2017-02-15
Saingan liga bawah 19 tahun kebangsaan, Piala Belia 2017 bakal membuka tirai saingannya pada 26 Februari ini dengan menyaksikan lima perlawanan Kumpulan A dan empat perlawanan Kumpulan B akan berlangsung membabitkan 19 pasukan bertanding musim ini.
Juara musim lalu, Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) B-17 kendalian Reduan Abdullah tidak menyertai saingan musim ini, sekali gus bakal menyaksikan juara baharu bakal dinobatkan.
Bagi saingan Kumpulan A, Kedah yang mara ke separuh akhir musim lalu kini di bawah kendalian Mohamad Ramlee dan akan bertandang ke Stadium Negeri, Batu Kawan untuk bertemu Pulau Pinang bimbingan Noraffendi Mohd Taib.
Satu lagi pasukan yang layak ke separuh akhir musim lalu, Kelantan yang kini dibimbing Sazami Shafi'i bakal berdepan Pahang kendalian Fahim Kow Abdullah di Padang Majlis Daerah Pekan.
Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) B-17 kendalian P Somasundram yang membawa SSMP B-16 mara ke suku akhir musim lalu pula akan menanti kunjungan pendatang baharu, Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) B-17 bimbingan M Kaviarasu di Padang B, Akademi Mokhtar Dahari, Gambang.
Satu lagi pasukan baharu, PKNS FC di bawah bimbingan Azrin Mohamed akan berdepan pasukan yang menduduki tangga kelima Kumpulan B musim lalu, Johor Darul Ta'zim IV kendalian ISZ Mohd Shahrom Idris di Padang PKNS, Kelana Jaya.
Sementara Sarawak kendalian Safri Amit menunggu kehadiran Terengganu yang kini dibimbing bekas pemain kebangsaan, Subri Sulong di Stadium Sarawak, Kuching.
Bagi saingan Kumpulan B pula, Selangor yang muncul naib juara musim lalu kini di bawah kendalian V Yogeswaran dan akan memulakan kempen musim ini berdepan Negeri Sembilan bimbingan Syafiq Jonny Abdullah di Padang SUK, Shah Alam.
Sabah kendalian Jelius Ating yang muncul juara Kumpulan A musim lalu tetapi kandas di suku akhir bakal bertandang ke Stadium Mini USIM, Nilai untuk bertemu satu lagi pasukan yang mara ke suku akhir musim lalu, Felda United yang kini dibimbing Azhar Abdul Rahman.
Perak bimbingan Shahril Nizam Khalil pula akan bertemu Perlis kendalian Azamri Zali di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar.
Sementara pendatang baharu, SSTMI B-16 kendalian Dato' Richard Scully bakal menanti kehadiran Melaka bimbingan bekas pemain kebangsaan, Md Noor Derus di Stadium Juara SSTMI, Bandar Penawar.
Satu lagi pasukan, Kuala Lumpur kendalian Suhaimi Ismail tidak beraksi pada minggu pertama ini.
Saingan peringkat kumpulan bagi Piala Belia 2017 bakal berlangsung selama 18 minggu sehingga 30 Julai depan.
Selepas itu, empat pasukan teratas setiap kumpulan akan meneruskan cabaran bagi saingan kalah mati suku akhir, separuh akhir dan perlawanan akhir, kesemuanya secara format timbal balik.
JADUAL HARI PERLAWANAN 1
AHAD, 26 FEBRUARI 2017
KUMPULAN A
PULAU PINANG lwn KEDAH
Stadium Negeri, Batu Kawan, 4.45 ptg
PAHANG lwn KELANTAN
Padang Majlis Daerah Pekan, 4.45 ptg
PKNS FC lwn JDT IV
Padang PKNS, Kelana Jaya, 4.45 ptg
SARAWAK lwn TERENGGANU
Stadium Sarawak, Kuching, 4.15 ptg
SSMP B-17 lwn SSTMI B-17
Padang B, Akademi Mokhtar Dahari, Gambang, 4.45 ptg
KUMPULAN B
FELDA UNITED lwn SABAH
Stadium Mini USIM, Nilai, 4.45 ptg
SELANGOR lwn NEGERI SEMBILAN
Padang SUK, Shah Alam, 4.45 ptg
PERLIS lwn PERAK
Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar, 4.45 ptg
SSTMI B-16 lwn MELAKA
Stadium Juara SSTMI, Bandar Penawar, 4.45 ptg