SETIAUSAHA AGUNG FAM MENZIARAHI BEKAS PENJAGA GOL KEBANGSAAN, DATO' YUSOFF BAKAR DI ALOR SETAR

2016-03-10

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dato' Hamidin Mohd Amin, hari ini telah menziarahi bekas penjaga gol kebangsaan tahun 1958 hingga 1963, Dato' Yusoff Abu Bakar yang terlantar sakit akibat penyakit batu karang di kediamannya di Alor Setar, Kedah.

 Pada kunjungan berkenaan, Hamidin yang mewakili FAM menyampaikan cek sumbangan daripada badan induk bola sepak negara itu selain turut menghadiahkan jersi penjaga gol skuad kebangsaan tertera nama YUSOFF dan nombor 1 serta jaket rasmi skuad Harimau Malaysia.

 Hadir sama, Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Dato' Aminuddin Omar serta Naib Presiden KFA yang juga pengurus pasukan Kedah, Dato' Jefferey Low Han Chau yang turut menyampaikan sumbangan wang tunai bagi pihak KFA.

 "Bagi saya, wang sumbangan itu adalah perkara kedua. Yang lebih penting ialah kehadiran kami ini sebagai tanda ingatan FAM dan juga KFA terhadap Dato' Yusoff yang telah berjasa selama beliau beraksi bersama skuad kebangsaan.

 "Selama ini, kita melakukan lawatan dan memberikan sumbangan secara ad-hoc jika ada bekas-bekas pemain kita yang sakit atau memerlukan bantuan.

 "Tapi satu cadangan yang baik jika kita di pihak FAM dapat mewujudkan satu dana untuk bekas-bekas pemain yang pernah berkhidmat dan menyumbang jasa kepada bola sepak negara," kata Hamidin ketika ditemui media di kediaman Yusoff, tengah hari tadi.

 Yusoff yang dilahirkan pada tahun 1935 di Pulau Pinang tetapi dibesarkan di Kedah bakal mencecah usia 81 tahun pada 1 September ini.

 Kekebalannya ketika beraksi bersama pasukan Perak dan skuad kebangsaan membuatkan dirinya digelar 'Iron Gate' dan Yusoff adalah sezaman dengan pemain legenda lain seperti Allahyarham Jalil Che Din, Allahyarham Tan Sri Abdul Ghani Minhat, Sexton Lourdes, Arthur Koh dan M Kuppan.

 Antara kejayaan Yusoff termasuk membantu skuad kebangsaan memenangi pingat emas Sukan SEAP di Rangoon, Burma (kini Yangon, Myanmar) pada tahun 1961 selain beraksi pada Pestabola Merdeka dan perlawanan-perlawanan antarabangsa melibatkan skuad kebangsaan.

 Yusoff yang mempunyai tiga orang anak - dua perempuan dan seorang lelaki berkhidmat dengan Jabatan Penjara sejak tahun 1957 sehinggalah bersara dengan jawatan terakhir sebagai Pengarah Penjara Alor Setar pada tahun 1990 dan dikurniakan gelaran Datuk oleh Sultan Kedah pada tahun 2013.