Shafiq Shaharudin mahu ikut jejak ayah

‘Bapa borek, anak rintik’ - mungkin perumpamaan paling sesuai antara lagenda bola sepak Negara, Shaharudin Abdullah dan anaknya, Shafiq Shaharudin.

Shafiq Shaharudin merupakan penyerang muda Johor Darul Ta’zim II (JDT II) yang sedang mendahului carta penjaring Liga Premier Malaysia dengan lima gol dari tiga perlawanan.

Berkat dorongan dan asuhan daripada bapanya, Shafiq kini menerima panggilan pertama ke skuad Malaysia bawah-23 tahun oleh ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee bagi persiapan menghadapi kejohanan Sukan SEA di Singapura yang dijadualkan bermula di penghujung Mei 2015.

“Ayah selalu menelefon saya dan memberi dorongan buat saya untuk buat yang terbaik,” ujar Shafiq ketika ditemubual di Wisma FAM.

Shaharudin Abdullah adalah salah seorang penyerang paling digeruni di benua Asia ketika zaman kariernya bersama pasukan kebangsaan dan juga pasukan Pulau Pinang.

Shafiq meluahkan hasratnya untuk mengikuti jejak langkah bapanya itu.

“Saya nak cuba capai apa yang ayah saya capai, kalau lebih itu Alhamdulillah bonus bagi saya,” tambahnya.

Walaubagaimanapun, Shafiq akui bahawa dia masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan bersama skuad kebangsaan.

“Saya memerlukan masa untuk menyesuaikan diri kerana ia adalah kali pertama saya bersama skuad kebangsaan.

“Saya akan cuba memperbaiki diri saya dan timba lebih banyak lagi pengalaman di peringkat antarabangsa,” katanya lagi.

J Category: 
uncategorised8