SIARAN MEDIA: 12 PASUKAN SUDAH MELENGKAPKAN PROSES PENSWASTAAN FC

2020-09-23

Dengan berbaki tujuh hari saja lagi sebelum tarikh akhir 30 September 2020, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ingin mengumumkan bahawa 12 pasukan sudah pun berjaya melengkapkan penswastaan kelab bola sepak (FC) masing-masing yang turut merangkumi proses pemisahan dari persatuan bola sepak (FA) ke FC.

Pasukan-pasukan tersebut adalah Johor Darul Ta'zim, Sarawak United FC, Petaling Jaya City FC, Armed Forces FC, Negeri Sembilan, Kelantan United FC, Melaka, Terengganu FC, Kuching FA, Sabah, Kuala Lumpur dan Perak.

Tahniah diucapkan kepada 12 pasukan ini atas kesungguhan dan kerja keras yang ditunjukkan oleh pengurusan tertinggi serta para pegawai mereka untuk berjaya menyerahkan semua dokumen yang diperlukan dalam melengkapkan proses penswastaan FC ini.

Sementara, enam pasukan lain masih dalam proses untuk melengkapkan penswastaan FC ini iaitu tiga pasukan - Selangor, Kelantan dan Felda United FC yang sudah dalam peringkat akhir proses; serta tiga pasukan - Pahang, Pulau Pinang dan Kedah yang dalam peringkat pertengahan proses.

Manakala perkembangan tiga lagi pasukan iaitu PDRM, UiTM FC dan UKM FC pula berada dalam peringkat awal proses penswastaan FC.

Surat peringatan terakhir telah pun dihantar kepada pasukan-pasukan ini, semalam.

Sekiranya gagal berbuat demikian, pasukan-pasukan yang berkenaan tidak akan diterima untuk menyertai pertandingan kelab di peringkat Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) jika layak, serta juga pertandingan domestik iaitu CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2021.

Ingin ditekankan di sini bawah tarikh akhir yang ditetapkan iaitu 30 September 2020 tidak boleh dianjakkan lagi dan ia perlu diberi perhatian serta tindakan segera daripada pengurusan dan pegawai pasukan-pasukan ini bagi melengkapkan juga proses penswastaan FC ini.

Dengan ini, FAM sentiasa terbuka untuk memberikan bantuan dan pertolongan kepada mana-mana pasukan yang memerlukan supaya pada akhirnya, kita mahu melihat kesemua pasukan ini dapat melengkapkan juga penswastaan FC ini sebelum tarikh akhir tersebut.

 

Mohd Firdaus Mohamed

Pengerusi Jawatankuasa Khas Bola Sepak Profesional FAM