SIARAN MEDIA: FAM SAMBUT BAIK KEPUTUSAN AFC TANGGUH AKSI KOREA UTARA-MALAYSIA

2017-03-10

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), hari ini menerima makluman daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bahawa perlawanan pertama Kumpulan B, Kelayakan Piala Asia 2019 antara Korea Utara bertemu Malaysia di Stadium Kim Il-sung, Pyongyang pada 28 Mac ini telah pun diputuskan Jawatankuasa Pertandingan AFC untuk ditangguhkan ke tarikh yang lain.

 Persatuan menyambut baik keputusan dibuat oleh AFC itu kerana ia dilihat sebagai langkah paling tepat demi keselamatan para pemain dan pegawai pasukan jika perlawanan itu tetap diteruskan pada 28 Mac ini memandangkan situasi semasa ketegangan hubungan diplomatik Malaysia-Korea Utara masih belum reda.

 Berhubung tarikh baharu dan venue untuk diadakan perlawanan tersebut, Persatuan menyerahkan sepenuhnya kepada AFC untuk menentukannya dan sedia untuk memberi kerjasama jika diminta berbuat demikian.

 Walau bagaimanapun, perlawanan persahabatan antarabangsa “A” yang diatur skuad kebangsaan, Harimau Malaysia untuk bertemu Filipina di Stadium Memorial Rizal, Manila pada 22 Mac ini tetap akan diteruskan memandangkan ia menawarkan mata ranking dan dilihat peluang terbaik buat skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu memperbaiki kedudukan Malaysia dalam ranking FIFA yang ketika ini di tangga ke-161 dunia.

 

DATO' HAJI HAMIDIN HAJI MOHD AMIN

SETIAUSAHA AGUNG FAM

JUMAAT, 10 MAC 2017