SIARAN MEDIA: FAM UMUM AL-IKHSAN SPORTS SEBAGAI PENGEDAR BARANGAN RASMI FAM

2021-08-27

Peminat Harimau Malaya kini boleh mendapatkan barangan yang memiliki elemen Harimau Malaya di semua outlet Al-Ikhsan Sports bermula 16 September 2021 apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan syarikat pengedar peralatan serta pakaian sukan terkenal negara, Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd sebagai rakan pengedar rasmi FAM, hari ini. 
 
Sesi pengenalan rak rasmi FAM telah diadakan secara tertutup di Football Republic, Sunway Pyramid pada Mei lalu, namun pengumuman kerjasama itu hanya dibuat hari ini selepas Al-Ikhsan Sports dapat mengesahkan tarikh pelancaran serta pengedaran barangan berkenaan yang sebelum ini terpaksa ditunda berikutan situasi semasa COVID-19.
 
Sesi tersebut telah dihadiri oleh Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin, Timbalan Presidennya, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi dan Dato’ S. Sivasundaram serta Exco FAM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penajaan dan Pemasaran FAM, Dato’ Sri Shahril Mokhtar dan Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam sementara Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd pula telah diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Vach Pillutla
 
Menerusi kerjasama bersama Al-Ikhsan Sports ini, hajat peminat bola sepak negara untuk mendapatkan pelbagai barangan merchandise rasmi Harimau Malaya kini lebih mudah untuk didapati.

Menurut Datuk Haji Hamidin, Al-Ikhsan Sports merupakan saluran terbaik bagi FAM untuk mengenal pasti kehendak peminat selain meluaskan lagi penjenamaan Harimau Malaya di dalam pasaran domestik dan antarabangsa.
 
“Di FAM, kami turut mengutamakan permintaan peminat dalam pembelian barangan rasmi skuad Harimau Malaya seperti jersi peminat, baju polo, beg gim, jaket dan bermacam-macam lagi barangan.
 
“Saya pasti menerusi kerjasama ini juga, ia dapat mengukuhkan lagi penjenamaan Harimau Malaya di dalam pasaran Malaysia,” kata Datuk Haji Hamidin. 

Sementara itu, pengerusi Al-Ikhsan Sports, Tuan Haji Ali Hassan meluahkan rasa bangga di atas jalinan kerjasama bersama badan induk bola sepak negara. 

"Dalam bulan kemerdekaan ini, Al-Ikhsan Sports berbangga kerana dapat menjadi sebahagian daripada FAM di mana sukan bola sepak sudah terkenal dengan kemampuan untuk menyatu-padukan rakyat Malaysia," kata Tuan Haji Ali. 

Stuart pula menambah bahawa 32 rekaan barangan FAM-Harimau Malaya termasuk barangan sukan untuk kanak-kanak dari Suparimau dan barangan edisi terhad FAM yang lain akan dipasarkan  secara berperingkat bagi tahun 2021, di mana 18 rekaan pertama sahaja akan dilancarkan pada 16 September ini manakala baki 14 rekaan lagi akan dikeluarkan pada November 2021 sempena saingan Piala Suzuki AFF.

Vach Pillutla turut menzahirkan keterujaan pihaknya untuk memulakan pemasaran dan pengedaran barangan rasmi FAM & Harimau Malaya di mana beliau juga menyifatkan barangan ini akan menjadi barangan “panas” serta “mesti milik” rakyat Malaysia lebih-lebih lagi penyokong Harimau Malaya. 

“Untuk fasa pertama kerjasama ini, rak rasmi FAM-Harimau Malaya akan mula berada di semua outlet-outlet utama Al-Ikhsan Sports terlebih dahulu dan sebelum tahun ini berakhir, rak khas ini akan berada di 125 cawangan kami seluruh negara. 

“Sebagai usaha FAM & Al-Ikhsan Sports untuk membantu barisan hadapan membendung pandemik COVID-19, kami juga telah menyediakan outlet secara dalam talian menerusi laman web rasmi Al-Ikhsan Sports sebagai alternatif untuk para penyokong membeli belah dengan selamat,” kata Vach. 
 
27 Ogos 2021