SIARAN MEDIA: HASSAN SAZALI DILANTIK KETUA JURULATIH BAHARU SKUAD PROJEK FAM-MSN

2021-12-28

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini mengumumkan pelantikan bekas ketua jurulatih skuad Harimau Muda C, Hassan Sazali Mohd Waras sebagai ketua jurulatih baharu Skuad Projek FAM-MSN bagi menghadapi saingan Liga Premier 2022.

Hassan, 56, telah menandatangani kontrak berkuat kuasa 1 Januari 2022 selaku pengendali pasukan berkenaan bagi menggantikan tempat Yusri Che Lah yang sebelum ini mengumumkan peletakan jawatan pada 10 Disember lalu.

Pemilihan Hassan dibuat selepas sesi temuduga ke atas seramai 11 orang calon oleh panel pemilihan dari FAM dan Majlis Sukan Negara (MSN) iaitu Timbalan Presiden FAM, Dato' S. Sivasundaram selaku Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan FAM dan juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP); Naib Presiden FAM, Encik Mohd Joehari Mohd Ayub selaku pengurus pasukan; Pengarah Bahagian Atlet MSN, Encik Jefri Ngadirin dan Ketua Cawangan Sukan Berpasukan MSN, Encik Akmal Ahmad Zainudin.

Sebagai rekod, Hassan pernah menjadi penolong jurulatih skuad Harimau Muda A dan B kepada Datuk Ong Kim Swee dari 2009 hingga 2013 sebelum dilantik menjadi ketua jurulatih skuad Harimau Muda C pada 2014 dan 2015.

Beliau kemudian menjadi penolong jurulatih skuad kebangsaan kepada Kim Swee pada 2016 hingga 2017, sebelum menjadi ketua jurulatih kelab PJ Rangers yang beraksi pada saingan Piala FAM 2018.

Selepas menumpukan perhatian kepada tugasan selaku instruktur bagi kursus-kursus kejurulatihan anjuran FAM sepanjang tahun 2019, Hassan kemudian telah dilantik sebagai Ketua Jurulatih Remaja Negeri (KJRN) Perak pada awal 2020 sehingga ke hari ini.

Bagi menghadapi saingan Liga Premier 2022, Hassan akan dibantu oleh penolong jurulatih, Noor Zaidi Rohmat dan jurulatih penjaga gol, Hamsani Ahmad yang dikekalkan daripada barisan kejurulatihan Skuad Projek FAM-MSN bagi musim 2021.

 

Mohd Saifuddin Abu Bakar

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)

 

* Siaran media ini dikeluarkan pada Selasa, 28 Disember 2021