SIARAN MEDIA: INTEGRITI PENGADIL TIDAK PERLU DIPERSOALKAN HANYA KERANA TEMPAT LAHIR

2019-04-06

Selepas perlawanan Liga Super 2019 antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Felda United, semalam, terdapat pertanyaan dan persoalan mengenai integriti pengadil perlawanan tersebut yang dikatakan berasal dari Johor.

Untuk makluman semua, pengadil berkenaan adalah berdaftar di bawah Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA) dan bekerja di Melaka. Beliau cuma lahir di Johor.

Jangan hanya kerana beliau lahir di Johor, terdapat tanggapan atau persepsi bahawa integriti pengadil berkenaan telah dipengaruhi faktor terhadap negeri kelahirannya, sedangkan beliau hanya lahir di Johor tetapi berdaftar secara rasmi sebagai pengadil di Melaka dan turut bekerja di Melaka.

Sebelum ini pun, FAM tidak pernah memilih pengadil untuk mengadili sesuatu perlawanan itu berdasarkan tempat lahir mereka, sebaliknya adalah mengikut negeri mana mereka didaftarkan.

Antara contoh pengadil berkenaan adalah seperti berikut:

  • Mohd Amirul Izwan Yaacob yang lahir di Kedah tetapi berdaftar dengan Perak
  • Razlan Joffri Ali lahir di Terengganu tetapi berdaftar dengan Selangor
  • Nazmi Nasaruddin lahir di Kuala Lumpur tetapi berdaftar dengan Pulau Pinang
  • Zulkarnain Zakaria lahir di Negeri Sembilan tetapi berdaftar dengan Kuala Lumpur
  • Wan Mohamad Tarmizi Wan Ibrahim lahir di Kelantan tetapi berdaftar dengan Selangor
  • Zulkifli Ahmad lahir di Perak tetapi berdaftar dengan Kuala Lumpur

Kesemua mereka ini mengadili perlawanan yang melibatkan negeri kelahiran mereka tanpa sebarang pertikaian pun dan apa yang berlaku pada perlawanan JDT bertemu Felda United, semalam jelas bukanlah sesuatu perkara baharu yang perlu dijadikan isu oleh sesetengah pihak.

Bagi musim 2019 ini, dalam kalangan mereka di atas ini telah mengadili perlawanan Liga Super membabitkan pasukan negeri kelahiran masing-masing seperti berikut:

  • Mohd Amirul Izwan Yaacob mengadili perlawanan membabitkan negeri kelahirannya, Kedah yang bertemu PKNS FC pada 2 Mac 2019
  • Razlan Joffri Ali mengadili perlawanan melibatkan negeri kelahirannya, Terengganu menentang Perak pada 1 Mac 2019
  • Nazmi Nasaruddin mengadili perlawanan antara pasukan tempat lahirnya, Kuala Lumpur bertemu Pahang pada 1 Februari 2019

Jelas di sini, tempat lahir pengadil tidak pernah dijadikan pertikaian atau isu sebelum ini kerana semua pelantikan pengadil perlawanan telah dilakukan dengan cukup profesional dan teliti mengikut negeri tempat pengadil-pengadil ini didaftarkan dan juga tahap kelayakan mereka.

Sebagai mengambil contoh lain, mengapa integriti seseorang pemain itu tidak dipersoalkan pula jika beliau beraksi menentang pasukan negeri kelahirannya, tetapi untuk pengadil, ia dijadikan pertikaian sedangkan umum mengetahui bahawa individu yang bergelar pengadil ini adalah seorang yang sentiasa profesional dalam menjalankan tugasnya.

Malah untuk pengetahuan semua juga, sehingga perlawanan kelapan Liga Super diharungi JDT setakat semalam, FAM telah melantik lapan pengadil berbeza untuk setiap perlawanan yang membabitkan pasukan JDT itu, sekaligus dakwaan bahawa FAM meletakkan pengadil tertentu untuk secara berulang kali mengadili perlawanan membabitkan pasukan JDT adalah tidak benar.

Biarpun berpandukan Prosedur Pengendalian Standard (SOP), FAM sentiasa meneliti prestasi setiap pengadil dari semasa ke semasa dan akan memastikan prestasi pengadil pada perlawanan, semalam turut dinilai dengan terperinci bagi memastikan kami dapat meningkatkan lagi mutu pengadilan para pengadil di negara ini.

 

ACP (B) Md Dali Wahid

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM