SIARAN MEDIA: KELME TAJA SKUAD PROJEK FAM-MSN

2021-03-01

Skuad Projek FAM-MSN, hari ini secara rasmi mengumumkan KELME sebagai penaja rasmi kit skuad Projek FAM-MSN untuk tempoh dua tahun. 

Perjanjian penajaan bernilai RM500,000 itu telah ditandatangani antara Pengurus Pasukan Skuad Projek FAM-MSN, Encik Mohd Joehari Mohd Ayub dan Pengarah KELME, Encik Choong Tuck Wai di Wisma FAM, pagi ini.  

Pada 10 Disember 2020, Persatuan Bolasepak (FAM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) telah mengumumkan usaha sama membentuk pasukan bersifat pembangunan yang akan bertanding di peringkat kedua Liga Bola Sepak Malaysia, iaitu Liga Premier.

Majlis pelancaran jersi 'home', 'away' dan jersi ketiga ini telah diadakan secara tertutup dan hebahan hanya menerusi siaran media memandangkan situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 13 Januari 2021 yang membabitkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor masih lagi berjalan.

Jersi baharu berkenaan telah dipersembahkan menerusi lima pemain daripada Skuad Projek FAM-MSN iaitu Al-Iman Wahiey Muhammad Amir, 19, Lokman A/K Bah Din, 19, Muhammad Safwan Mazlan, 19, Amirul Hakimi Rosli, 19 dan Muhammad Afiq Fitri, 19.

Kelima-lima pemain muda itu tampak segak menggayakan kesemua kit tajaan KELME, lebih-lebih lagi rekaan mereka yang jelas memelihara elemen warna tradisi pasukan bola sepak kebangsaan iaitu hitam dan kuning pada jersi ‘home’ dan ‘away’ serta merah dan hitam pada jersi ketiga, sekali gus menyerlahkan gaya eksklusif.

Encik Mohd Joehari yang juga Naib Presiden FAM menyifatkan kerjasama pertama antara Skuad Projek FAM-MSN dan KELME ini sebagai satu permulaan yang positif dengan melihat jenama ternama Sepanyol ini beralih fokus terhadap pembangunan pemain belia di Malaysia dan berharap lebih banyak syarikat korporat akan tampil untuk menyokong pembangunan bola sepak di negara ini.

“Menerusi sokongan daripada pihak KELME ini, saya yakin ia dapat membantu kami dalam mencapai matlamat pasukan, sudah tentu dengan bantuan daripada pihak MSN.

“Fokus utama pasukan ini di dalam Liga Premier adalah tentang pendedahan dan memberikan peluang untuk mengumpul pengalaman buat anak-anak muda ini beraksi di peringkat teratas liga bola sepak Malaysia selain memberi peluang untuk mereka bersedia bagi menghadapi Sukan Sea 2021 di Hanoi, November ini,” kata Encik Mohd Joehari. 

Yang turut hadir pada majlis pelancaran itu adalah Naib Presiden FAM, YH Dato’ Sivasundram A/L Sithamparam Pillai, Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM, YBhg Datuk Mohd Hisamudin Yahaya, YDH ACP (B) Md Dali Wahid, Cik Shafizah Umamah Abdul Mutalib, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, Ketua Unit Belia FAM, Razip Ismail dan Ketua Jurulatih Skuad Projek FAM-MSN, Yusri Che Lah.

Sejak dilancarkan pada 10 Disember 2020, seramai 259 pelatih daripada lepasan Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Piala Belia, Piala Presiden, Sekolah Sukan Malaysia dan Negeri serta Pusat Latihan Daerah di bawah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) telah menjalani sesi pemilihan. 

Menurut Ketua Jurulatih Skuad Projek FAM-MSN, Yusri Che Lah, skuad kendaliannya kini sedang giat menjalani latihan bagi menghadapi perlawanan pertama Liga Premier 2021 yang akan bermula Sabtu ini.

“Saya percaya dengan adanya jersi berkualiti tinggi tajaan KELME ini, ia dapat menaikkan lagi semangat pemain-pemain saya untuk memulakan aksi sulung Liga Premier menentang Terengganu FC II, 6 Mac ini.

“Kita sudah berjaya memuktamadkan 30 pemain berusia antara 18 dan 19 tahun dan sudah pun memulakan latihan pasukan.

“Perasaan gementar itu sudah tentu biasa lebih-lebih lagi untuk pemain-pemain muda ini kerana bakal beraksi di tahap yang tinggi, jadi penilaian prestasi saya terhadap anak-anak muda ini masih awal.

“Namun begitu, kesungguhan mereka ketika di atas padang harus dipuji kerana mereka memberikan 100% komitmen ketika berlatih.  Saya berharap penyokong-penyokong bola sepak negara dapat memberikan mereka sokongan setaraf sokongan terhadap pasukan-pasukan negeri dan pasukan kebangsaan,” kata Yusri. 

Sementara itu, Tuck Wai pula turut berkongsi rasa bangga dengan kerjasama yang terjalin bersama Skuad Projek FAM-MSN.

“Kerjasama ini mencerminkan sokongan positif KELME terhadap pembangunan bola sepak di dalam negara.  Saya berharap ia dapat meniupkan semangat kepada pemain-pemain muda di dalam skuad ini untuk memberikan yang terbaik apabila beraksi di Liga Premier nanti,” kata Tuck Wai. 

Perjalanan KELME sebagai syarikat peralatan serta pakaian sukan bermula sejak 1990-an di Amerika Syarikat dan sebahagian besar Eropah dan mula bertapak di dalam pasaran Malaysia sejak dua tahun lalu. Antara kelab-kelab bolasepak gergasi yang pernah ditaja oleh KELME adalah Real Madrid C. F., RCD Espanyol dan Villareal C. F.