SIARAN MEDIA: KEMAS KINI BERHUBUNG DUA PERKARA SEMASA MEMBABITKAN PANDEMIK COVID-19

2020-04-24

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah membuat beberapa langkah bagi memastikan kelangsungan bola sepak di negara ini yang merangkumi saingan Liga Malaysia, pasukan atau kelab, pemain-pemain serta pegawai yang terlibat supaya tidak terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 ketika ini.

Untuk makluman semua, FAM telah menetapkan sehingga jam 11.59 malam pada Rabu, 22 April 2020 untuk semua pasukan yang beraksi dalam Liga Malaysia 2020 menghantar status perbincangan bersama di antara pasukan atau kelab dengan pemain dan pegawai serta laporan status kewangan pasukan atau kelab masing-masing kepada Sekretariat Agung FAM.

Justeru, Sekretariat Agung FAM sedang meneliti dan menganalisis semua laporan dan dokumentasi tersebut dan turut berkomunikasi dengan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi mendapatkan pandangan serta maklum balas daripada mereka sebelum membuat satu keputusan selanjutnya.

Keduanya, saya bersama Presiden FAM merangkap Presiden Malaysian Football League (MFL), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin dan Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato' Ab Ghani Hassan telah mengadakan satu mesyuarat khas dengan Menteri Belia dan Sukan, Dato' Sri Reezal Merican Naina Merican di pejabatnya di Putrajaya, petang semalam bagi memberi penerangan berhubung perancangan FAM dan MFL bagi kelangsungan bola sepak Malaysia selepas berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) nanti.

Melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS), FAM telah pun menghantar permohonan rasmi kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan juga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mendapatkan nasihat, pandangan dan kelulusan untuk mengunakan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang akan dipatuhi bagi membolehkan FAM dan badan pengendali Liga Malaysia, MFL menyambung serta meneruskan baki saingan Liga Malaysia 2020 yang ditangguhkan sejak 16 Mac 2020.

FAM dan MFL sudah tentu mengutamakan aspek kesihatan negara mendahului bola sepak. Namun sebagai badan induk bola sepak di Malaysia, kami perlu berusaha untuk mencari jalan supaya bola sepak dapat diteruskan dan sebab itulah kami mahu mendapatkan nasihat pakar daripada pihak yang bertanggungjawab.

Apa juga arahan atau sekatan daripada KKM atau MKN, FAM terbuka sepenuhnya untuk menerimanya dan akan mematuhi segala arahan yang diberikan nanti walaupun ia membawa kepada pembatalan semua aktiviti bola sepak.

Terima kasih diucapkan kepada Dato' Sri Reezal Merican kerana sudi berbincang mengenai situasi semasa dan kekangan yang sedang dihadapi persatuan-persatuan bola sepak seluruh dunia ketika ini. Sokongan serta keprihatinan pihak KBS sangat dialu-alukan oleh FAM.

Oleh demikian, FAM akan memaklumkan dalam masa terdekat berhubung status kedua-dua perkara di atas iaitu berkaitan gaji pemain dan pegawai serta kalendar bola sepak Liga Malaysia.

 

Stuart Ramalingam

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)