SIARAN MEDIA: LAPORAN PERTAMA ROADMAP F:30 FAM

2019-04-03

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini telah mengadakan sesi taklimat media bagi menerangkan laporan pertama Peta Hala Tuju atau Roadmap FAM 2019-2030 yang dinamakan F:30 bagi tempoh tiga bulan pertama iaitu Januari hingga Mac 2019.

Untuk makluman, F:30 telah dilancarkan secara bersama oleh Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino; Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa dan Presiden FAM, Dato’ Haji Hamidin Haji Mohd Amin pada satu majlis di Kuala Lumpur pada 31 Oktober 2018.

F:30 dibahagikan kepada tiga peringkat Pelan Strategik iaitu Pelan Strategik 1 (2019-2022) untuk membentuk teras asas, Pelan Strategik 2 (2023-2026) untuk mula menguasai Asia dan Pelan Strategik 3 (2027-2030) untuk menguasai peringkat dunia.

Pada sesi taklimat media berkenaan, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam telah membentangkan secara terperinci perkembangan semasa F:30 dan mendedahkan peratusan terkini sasaran strategik dan perkara tindakan yang telah dibuat bagi pelaksanaan Pelan Strategik 1 dalam tempoh empat tahun pertama (2019-2022).

Secara keseluruhan, peratusan tiga teras utama F:30 untuk Pelan Strategik 1 bagi tempoh tiga bulan pertama iaitu Januari hingga Mac 2019 adalah seperti berikut:

1. Tadbir Urus (kakitangan & polisi) sudah mencecah 23%.

2. Pembangunan (bola sepak, ahli gabungan, infrastruktur & rakan kerjasama) sudah mencecah 24%.

3. Pertandingan (bola sepak lelaki, bola sepak wanita & futsal) sudah mencecah 30%.

Bagi merealisasikan Pelan Strategik 1, sebanyak 49 sasaran strategik dengan sejumlah 118 perkara tindakan telah terkandung dalam F:30.

Pecahan dan peratusannya mengikut tiga teras asas sepanjang tiga bulan pertama iaitu Januari hingga Mac 2019 adalah seperti berikut:

1. Tadbir Urus (kakitangan & polisi) membabitkan 13 sasaran strategik dengan 24 perkara tindakan sedang dilaksanakan pada kadar pelaksanaan 100%.

2. Pembangunan (bola sepak, ahli gabungan, infrastruktur & rakan kerjasama) membabitkan 34 sasaran strategik dengan 71 perkara tindakan sedang dilaksanakan pada kadar pelaksanaan 63%.

3. Pertandingan (bola sepak lelaki, bola sepak wanita & futsal) membabitkan 2 sasaran strategik dengan 23 perkara tindakan sedang dilaksanakan pada kadar pelaksanaan 57%.

Berdasarkan laporan pertama yang dibentangkan itu, peratusan perkembangan setiap teras utama yang dicatat memperlihatkan bahawa F:30 masih berada dalam landasan terbaik untuk ia dilaksanakan dari semasa ke semasa.

Namun, F:30 adalah agenda bola sepak nasional yang memerlukan kerjasama baik daripada semua pihak dan bukan FAM sahaja yang boleh menjayakannya dalam memastikan perkembangan bola sepak Malaysia mencapai ke tahap yang diingini semua.

Hala tuju ini adalah permulaan terbaik bagi FAM kepada seluruh pemegang taruh bola sepak negara termasuk para penyokong untuk semua mereka dapat memahami arah tuju bola sepak Malaysia dengan lebih jelas.

FAM akan terus memberikan laporan kedua, ketiga dan seterusnya dari semasa ke semasa bagi memastikan semua di luar sana dapat mengetahui perkembangan terkini mengenai F:30 ini.

 

PERSATUAN BOLASEPAK MALAYSIA (FAM)

3 APRIL 2019