SIARAN MEDIA: PENGGANTUNGAN RENAN ALVES ADALAH MENGIKUT KOD TATATERTIB FAM

2019-07-25

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ingin menjelaskan bahawa pemain import Kedah, Renan Alves tetap perlu menjalani penggantungan satu perlawanan yang telah ditetapkan mengikut Kod Tatatertib FAM, sekali gus tidak boleh beraksi pada Final Shopee Piala FA 2019 menentang Perak di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini (27 Julai 2019).

Surat hukuman berkenaan telah dikeluarkan secara rasmi oleh FAM, Selasa lalu (23 Julai 2019) selepas Alves dilayangkan kad kuning kedua, seterusnya kad merah pada perlawanan terakhir Liga Super 2019 bertemu Felda United di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka pada Ahad lalu (21 Julai 2019).

Mengikut Artikel 40 (2) (a) dalam Kod Tatatertib FAM iaitu berkaitan 'Membawa Ke Hadapan Penggantungan Perlawanan', penggantungan perlawanan yang melibatkan perintah keluar padang ke atas pemain bagi perlawanan terakhir pertandingan tersebut akan dibawa ke perlawanan rasmi pasukan/kelab yang seterusnya.

 

Artikel 40: Membawa Ke Hadapan Penggantungan Perlawanan

2. Kecuali diputuskan sebaliknya oleh badan kehakiman, penggantungan perlawanan yang melibatkan perintah keluar padang ke atas pemain di luar pertandingan (pertandingan berasingan) atau tidak dijalani ketika pertandingan tersebut di mana ianya ditujukan (pembatalan atau perlawanan terakhir bagi pertandingan tersebut) akan dibawa seperti berikut:

(a) Pertandingan-pertandingan FAM bagi pasukan dan kelab akan dibawa ke hadapan ke perlawanan rasmi pasukan atau kelab yang seterusnya.

 

Untuk itu, perlawanan rasmi seterusnya bagi pasukan Kedah selepas aksi bertemu Felda United itu adalah Final Shopee Piala FA 2019 bertemu Perak pada Sabtu ini, dan bukannya perlawanan pertama Piala Malaysia 2019 pada Ogos depan.

Jelas di sini, tiada langsung isu untuk berlakunya sebarang kekeliruan atau salah tafsiran terhadap terma 'perlawanan seterusnya' yang diguna pakai dalam Kod Tatatertib FAM itu yang mana sememangnya Alves perlu serta merta menjalani penggantungan satu perlawanan itu pada aksi Sabtu ini tanpa perlu sebarang penangguhan, pengecualian atau keistimewaan dibuat.

Jika ingin dibuat perbandingan, situasi ini pernah juga berlaku atau dialami oleh beberapa pemain lain yang terlepas aksi final disebabkan kad merah diterima mereka pada perlawanan liga, antaranya seperti berikut:

 

i. Pemain pertahanan Johor Darul Ta'zim (JDT), Aidil Zafuan Abd Radzak terlepas untuk beraksi pada Final Piala FA 2013 menentang Kelantan selepas digantung dua perlawanan kerana kad merah diterimanya ketika perlawanan Liga Super 2013 bertemu Lions XII, seminggu sebelum aksi final itu. Rayuannya telah ditolak oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM.

ii. Pemain Liverpool, Luis Garcia dan pemain West Ham, Hayden Mullins kedua-duanya terlepas untuk beraksi pada Final Piala FA 2006 selepas digantung tiga perlawanan akibat kad merah diterima mereka pada perlawanan Liga Perdana Inggeris. Biarpun telah menjalani dua penggantungan pada perlawanan liga, mereka tetap perlu menjalani penggantungan perlawanan ketiga pada aksi final berkenaan. Rayuan kedua-dua pemain untuk beraksi pada final itu telah ditolak.

 

Ini menunjukkan bahawa situasi seperti ini tidak hanya berlaku di Malaysia, malah di saingan liga-liga lain di seluruh dunia.

Justeru, FAM berharap agar semua pasukan meneliti dan memahami peraturan dan kod tatatertib yang telah ditetapkan supaya semua pihak terutama penyokong tidak dikelirukan dengan maklumat yang salah dan andaian yang tidak tepat terhadap sesuatu keputusan atau tindakan tatatertib yang dibuat itu.

Bagi FAM sendiri, kita sememangnya mahu semua pemain-pemain utama kedua-dua pasukan dapat turun beraksi pada Final Shopee Piala FA 2019, Sabtu ini, namun terpaksa mengikut peraturan yang telah ditetapkan dalam Kod Tatatertib FAM itu.

 

Stuart Ramalingam

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)