SIARAN MEDIA: PERLAWANAN AMAL HARI MALAYSIA 2016 & PENGUMUMAN LOGO BAHARU HARIMAU MALAYSIA PADA 16 SEPTEMBER 2016

2016-09-01

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini mengumumkan bahawa logo baharu Harimau Malaysia akan diperkenalkan secara rasmi pada 16 September 2016 bersempena dengan Hari Malaysia 2016 yang akan disambut pada tarikh berkenaan.

 Terdahulu pada 2 Februari 2016, Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pada Majlis Pengenalan Penaja & Pengumuman Nama Gelaran Baharu Skuad Kebangsaan di Hotel The Royal Chulan, Kuala Lumpur telah mengumumkan nama ‘Harimau Malaysia’ sebagai nama gelaran rasmi baharu skuad bola sepak kebangsaan Malaysia, berkuat kuasa serta merta.

 Serentak dengan itu, peraduan mencipta logo Harimau Malaysia dilancarkan dan telah menerima lebih 2,000 penyertaan daripada pereka dan peminat bola sepak seluruh negara sepanjang tempoh hampir empat minggu ia berlangsung dari 3 hingga 29 Februari 2016.

 Seterusnya, panel penilai profesional pada 8 Mac 2016 telah memilih 5 daripada 2,000 penyertaan untuk diundi pemenangnya oleh rakyat Malaysia.

 Undian awam yang dibuat secara online selama 13 hari dari 22 Mac hingga 3 April 2016 telah menerima lebih daripada 20,000 undian dalam menentukan logo mana yang bakal diperkenalkan pada Hari Malaysia 2016 nanti.

 Apa yang pasti, logo Harimau Malaysia ini benar-benar milik peminat-peminat bola sepak negara kerana ia telah terhasil dan dipilih sendiri oleh para peminat.

 Antara tujuan penjenamaan pasukan kebangsaan kepada Harimau Malaysia adalah untuk menunjukkan bahawa pasukan kebangsaan adalah milik semua peminat bola sepak Malaysia dan ini terbukti melalui proses penghasilan logo secara ‘crowdsource’.

 Logo baharu ini juga diterjemahkan dalam bentuk produk  ‘Official Supporters Merchandise’ yang boleh dibeli di laman web rasmi Harimau Malaysia www.harimaumalaysia.my bermula pada 16 September 2016.

 Produk-produk ini bertujuan untuk memberi peluang kepada para penyokong untuk menzahirkan sokongan mereka terhadap skuad bola sepak kebangsaan dengan memiliki barangan berkualiti dan rasmi keluaran Harimau Malaysia dengan harga yang mampu milik.

 Bagi memperkenalkan logo baharu ini, pihak FAM telah membentuk kerjasama dengan pihak Astro khususnya saluran radio terkemuka negara, ERA fm untuk mengadakan Perlawanan Amal Hari Malaysia 2016 yang akan berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan pada 16 September 2016.

 Perlawanan amal ini turut bertujuan menyokong rakan tanggungjawab sosial FAM iaitu MYCAT (Pakatan Pemuliharaan Harimau Malaysia) yang merupakan gabungan NGO yang memperjuangkan pemuliharaan spesis Harimau Malaya yang kini dianggarkan tinggal 300 ekor sahaja di Malaysia.

 FAM dan juga pasukan kebangsaan menggunakan Harimau sebagai simbol dan usaha ini sangat bersesuaian untuk menyumbang ke arah pemuliharaan binatang yang menjadi mercu bola sepak negara.

 Perlawanan amal ini menemukan pasukan Dugong All Stars menentang Pilihan Harimau Malaysia. Dugong All Stars adalah pasukan yang terdiri daripada gabungan bekas pemain bola sepak profesional yang kini berkhidmat sebagai pengulas di Astro Arena, selebriti-selebriti TV dan radio serta orang awam yang dipilih oleh Astro.

 Dikendalikan bekas penyerang kebangsaan, Azman Adnan, pasukan Dugong All Stars ini bakal menampilkan penyampai ERA fm, Johan, Hanif, Ray dan Radin serta artis-artis tempatan seperti Black, Tomok, Akim, Altimet, Achey Bocey, Zahid dan Joe Flizzow.

 Pasukan Pilihan Harimau Malaysia yang disusun oleh Ketua Jurulatih Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee pula adalah gabungan pemain-pemain kebangsaan kini dan dahulu, serta pemain-pemain veteran yang dipilih oleh jurulatih berusia 46 tahun itu.

 Perlawanan amal ini diharap dapat menyemarakkan semangat dan cinta peminat bola sepak untuk  pasukan negara menjelang perjuangan di Piala Suzuki AFF 2016 yang akan berlangsung pada pertengahan November ini.

 Ia juga memberi peluang untuk peminat berhibur dengan sesi keluarga pada cuti Hari Malaysia 2016 itu bagi melihat kelibat selebriti dan juga pemain-pemain veteran yang pernah mewarnai arena bola sepak negara satu ketika dahulu.

 Sepak mula perlawanan pada 16 September itu adalah pada jam 5:00 petang dengan tiket berharga RM5 untuk dewasa dan percuma bagi anak-anak yang bersekolah (bawah 17 tahun).

 Hasil jualan tiket pada perlawanan amal ini akan disumbangkan kepada MYCAT untuk meneruskan usaha-usaha pemuliharaan harimau di Malaysia.

 Tiket boleh dibeli pada hari perlawanan atau secara online di www.tickethotline.com.my.