SIARAN MEDIA: PTSR 2020 TERPAKSA DITANGGUHKAN; AKSI BOLA SEPAK WANITA AKAN KEMBALI PADA 2021

2020-09-28

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan dukacitanya ingin mengumumkan bahawa pertandingan bola sepak wanita kebangsaan, Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR) 2020 terpaksa ditangguhkan ke tarikh yang lain pada 2021.

PTSR 2020 sepatutnya dijadualkan berlangsung pada November ini, namun perancangan itu tidak dapat diteruskan berdasarkan situasi semasa pandemik COVID-19 di negara ini yang mana ketika ini masih terdapat lagi kluster-kluster baharu, sekali gus menyukarkan pihak FAM melakukan persediaan dan persiapan bagi pertandingan tersebut.

Saya pasti para pemain serta aktivis-aktivis bola sepak wanita di negara ini berasa kecewa dengan perkembangan terbaharu ini, begitu juga saya yang sangat mengharapkan agar bola sepak wanita dapat dimainkan semula selepas terhenti lama akibat pandemik COVID-19 sejak dari awal tahun 2020 ini.

Ia satu keputusan yang berat dan sukar untuk dibuat, namun kita semua perlu akur bahawa kesihatan dan keselamatan semua termasuk pemain-pemain bola sepak wanita, para pegawai serta keluarga masing-masing perlu diutamakan bagi mengelak daripada kita dijangkiti pandemik COVID-19 yang belum reda ini.

Bagaimanapun, FAM akan menjalankan aktiviti bola sepak wanita di luar padang iaitu Kursus Sijil Kejurulatihan Lesen D Wanita FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya pada 5 hingga 9 Oktober 2020 dan Kursus Sijil Kejurulatihan Lesen C Wanita MSN/FAM di Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Gambang, Pahang pada 5 hingga 25 Oktober 2020.

Dengan peruntukan tambahan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) kepada bola sepak wanita serta persediaan rapi FAM untuk perancangan aktiviti bagi tahun 2021, saya optimis dan percaya bahawa aktiviti bola sepak wanita di negara ini akan kembali rancak pada tahun depan.

Pelan Pembangunan Bola Sepak Wanita 2020-2030 yang dirancang untuk dilancarkan pada tahun ini juga akan ditangguhkan pelancarannya pada 2021, yang mana pelaksanaannya akan dimulakan serta-merta tahun depan, demi memastikan kemajuan bola sepak wanita di negara ini dapat terus segera dipacu.

 

DATO' SURAYA YAACOB

Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM

Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM

Ahli Jawatankuasa Bola Sepak Wanita AFC