SIARAN MEDIA: RIZAL GHAZALI DIBERIKAN AMARAN KERAS

2022-03-30

Pemain Sabah FC, Mohd Rizal Mohd Ghazali, telah diberi amaran keras agar tidak mengulangi tindakannya yang enggan melapor diri ke kem latihan pusat pasukan kebangsaan, Harimau Malaya pada 14 Mac 2022.

Terdahulu Mohd Rizal yang diletakkan dalam Senarai Bersedia pada asalnya telah dipanggil oleh ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon bagi menggantikan pemain Johor Darul Ta'zim, Mohd Syahmi Safari yang meminta pengecualian untuk tidak melapor diri ke kem latihan pusat kali ini kerana menyambut kelahiran anak kembar tiganya.

Berikutan keengganan Mohd Rizal untuk melapor diri, Pan Gon telah memanggil seorang lagi pemain dari Senarai Bersedia iaitu Ahmad Khuzaimi Piee untuk menggantikan tempat Syahmi dan pemain pertahanan Negeri Sembilan FC itu hadir melapor diri pada 14 Mac 2022.

Susulan itu, surat amaran telah dikeluarkan oleh FAM kepada Mohd Rizal agar menghormati panggilan skuad kebangsaan jika tidak mahu dikenakan sebarang tindakan dan Mohd Rizal sudah pun menjawab surat tunjuk sebab kepada FAM.

Sebagai peringatan tambahan, Mohd Rizal diingatkan agar tampil melapor diri terlebih dahulu dan mengemukakan sebab kepada pengurusan pasukan kebangsaan seandainya ada alasan kukuh untuk menarik diri daripada menyahut panggilan kem latihan pada masa akan datang.

 

MOHD SAIFUDDIN ABU BAKAR

Setiausaha Agung, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)

 

* Siaran media ini dikeluarkan pada Rabu, 30 Mac 2022