SIARAN MEDIA: SANCTBAND ACTIVE JALIN KERJASAMA BERSAMA FAM

2021-05-25

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini telah memeterai perjanjian selama setahun bersama jenama peralatan sukan buatan Malaysia, Sanctband Active yang terkenal dengan produk jalur gelung rintangan (resistance band).

Menerusi kerjasama bersama Sanctband Active ini, FAM khususnya Unit Pendidikan Kejurulatihan serta Unit Perubatan dan Sains Sukan sudah tentu meraih faedah apabila peralatan sukan keluaran syarikat Sanctuary Health Sdn Bhd itu akan digunakan untuk program serta aktiviti pendidikan kejurulatihan dan ketika latihan memanaskan badan dan pemulihan pemain skuad kebangsaan.

Exco FAM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Perubatan dan Sains Sukan FAM, Dato’ Jeferrey Low Han Chau berkata, unit Perubatan serta Sains Sukan FAM dapat meraih faedah menerusi kerjasama bersama Sanctband Active yang jelas menunjukkan kepentingan hubungan pembangunan pendidikan kejurulatihan dan sains sukan di dalam struktur bola sepak negara.

“Menerusi kerjasama ini, pendidikan kejurulatihan FAM kini dapat dicorak ke tahap tertinggi serta dapat diperluas di mana ramai lagi jurulatih berkualiti tinggi dapat dilahirkan di masa akan datang.

“Kami di FAM sangat berbesar hati di atas sokongan yang telah dizahirkan oleh pihak Sanctband Active dan berharap agar lebih ramai syarikat swasta tempatan dapat tampil ke hadapan bagi memeriahkan lagi sukan bola sepak negara,” kata Dato' Jeferrey.

Beliau juga turut berkongsi pendapat bahawa tajaan daripada syarikat peralatan sukan itu akan membuka mata penyokong bola sepak tempatan terhadap kepentingan perubatan dan Sains Sukan di dalam struktur bola sepak.

“Unit Perubatan dan Sains Sukan FAM sentiasa memastikan pemain-pemain di dalam skuad kebangsaan sihat dan mempunyai tahap kecergasaan yang tertinggi. 

“Mereka di awasi dengan rapi dari pelbagai aspek seperti diet yang seimbang dan latihan pemulihan sekiranya tercedera untuk kembali bertanding dalam masa tersingkat dan menerusi peralatan daripada Sanctband ini, ia telah banyak membantu dalam proses rehabilitasi pemain,” ujarnya.

Pengarah Urusan Sanctuary Health Sdn Bhd, Koh Yek Joo berkata kerjasama bersama badan induk bola sepak negara itu disifatkan sebagai peluang keemasan kerana dapat membuka peluang kepada Sanctband Active untuk meluaskan lagi produk mereka di dalam pasaran Malaysia.

“Sukan bola sepak adalah antara sukan yang sangat terkenal di dalam kalangan rakyat Malaysia dan kami di Sanctband Active sangat berbangga kerana dapat menjadi sebahagian daripada skuad Harimau Malaya.

“Dengan kualiti peralatan sukan daripada syarikat kami, saya percaya prestasi Harimau Malaya pada kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai dapat membanggakan Malaysia," kata Yek Joo.

Ditubuhkan pada 2002, Sanctband Active adalah sebuah produk peralatan sukan buatan Malaysia, di bawah syarikat Sanctuary Health Sdn Bhd di mana ia dieksport ke seluruh dunia seperti Amerika Syarikat, Kanada, Jepun dan Eropah. Sanctband Active terkenal dengan produk peralatan sukan yang diperbuat daripada getah di mana kualitinya lebih tahan lama dan tahan lasak.

25 Mei 2021