Sidang media pra-perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2018, Malaysia lwn Palestin

Skuad kebangsaan, Harimau Malaya kendalian Dollah Salleh akan berdepan Palestin untuk perlawanan kedua Kumpulan A, saingan Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam esok (Selasa).

 Pada perlawanan pertama Khamis lalu, Malaysia seri 1-1 dengan Timor Leste manakala Palestin tewas 3-2 kepada Arab Saudi di Dammam. Satu lagi pasukan, UAE tidak beraksi.
 
 Berikut komen jurulatih dan pemain kedua-dua pasukan pada sidang media pra-perlawanan di Stadium Nasional, sebentar tadi.
 
 
KOMEN JURULATIH MALAYSIA, DOLLAH SALLEH
 
"Saya percaya, Malaysia akan beri persembahan terbaik. Saya akan pastikan tidak lagi berlaku aksi kurang menyerlah ketika bertemu Timor Leste. Harap pemain dapat beri komitmen seratus peratus, tidak kira siapa saja yang diturunkan.
 
 "Mengenai pasukan Palestin, bukan isu umur pemain mereka muda dalam lingkungan 20 hingga 24 pemain, tapi apa yang diketahui, Palestin dibarisi tujuh pemain luar yang diberi kerakyatan.
 
 "Arab Saudi pun hanya mendapat kemenangan menerusi jaringan minit terakhir ketika bertemu Palestin minggu lalu. Itu membuktikan Palestin begitu bersedia dan kita tidak boleh sesekali memandang rendah cabaran mereka.
 
 "Bagi pasukan Malaysia, mungkin ada dua pertukaran dalam kesebelasan utama. Junior Eldstal sudah tentu tidak dapat diturunkan akibat kecederaan manakala Joseph Kalang Tie juga nampak masih tidak dapat beri seratus peratus dalam latihan akibat kecederaan ketika bertemu Timor Leste. Saya akan lihat keadaannya pada latihan petang ini."
 
 
KOMEN KAPTEN MALAYSIA, SAFIQ RAHIM
 
"Perlawanan yang lepas (bertemu Timor Leste) sudah jadi sejarah. Jadi kita kena pandang ke hadapan. Saya dan rakan-rakan kini berfikiran positif. Kami mahukan kemenangan di tempat sendiri dan menggunakan segala kelebihan apabila turun berdepan Palestin.
 
 "Jadi saya berharap, saya dan rakan sepasukan akan memberi impak terbaik pada perlawanan malam esok dan kami semua akan mengikut perancangan jurulatih, laksanakan apa ditunjuk ajar oleh jurulatih."
 
 
KOMEN JURULATIH PALESTIN, ABDEL NASEER BARAKAT
 
"Pastinya ia akan menjadi satu perlawanan yang cukup sukar kerana kami bermain di tempat lawan. Tapi kami akan cuba buat yang terbaik untuk mengutip tiga mata penuh. Insya-Allah.
 
 "Kami perlu menang kerana kami tewas perlawanan pertama kepada Arab Saudi. Kemenangan ke atas Malaysia penting supaya kami mendapat keyakinan untuk meneruskan cabaran dalam saingan kumpulan ini.
 
 "Kami hormati pasukan Malaysia. Mereka pasukan yang baik. Tapi kami akan bekerja keras untuk memenangi perlawanan malam esok.
 
 "Kami sebenarnya pasukan baharu selepas berakhir kempen Piala Asia 2015. Kami tukar ramai pemain dan mahu membina satu pasukan baharu untuk masa hadapan. Biarpun dibarisi majoriti pemain berusia 20 hingga 24 tahun, kami yakin boleh memenangi perlawanan ini."
 
 
KOMEN PEMAIN PALESTIN, JAKA IHBEISHEH
 
"Sudah tentu sukar diterima apabila kami tewas pada minit terakhir kepada Arab Saudi. Tapi kali ini perlawanan baharu, semuanya baharu. Kami sudah bersedia untuk melakukan yang terbaik bagi memenangi perlawanan bertemu Malaysia ini.
 
 "Kami perlu fokus sepenuhnya terhadap perlawanan malam esok dan melupakan kekalahan kepada Arab Saudi. Kami hanya mahukan kemenangan malam esok untuk meletakkan kami di kedudukan terbaik bagi meneruskan saingan pada aksi akan datang."
J Category: 
uncategorised7