Sidang media pra-perlawanan Malaysia lwn Hong Kong & pengumuman senarai akhir 23 pemain

Sidang media menjelang perlawanan antarabangsa A antara Malaysia dan Hong Kong di Stadium Shah Alam, Sabtu ini (6 Jun) berlangsung di Wisma FAM, Kelana Jaya, petang tadi.
 
 Ia dihadiri jurulatih kebangsaan, Dollah Salleh dan jurulatih Hong Kong, Kim Pan-gon serta Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dato' Hamidin Mohd Amin selaku pengurus skuad kebangsaan.
 
 Pada sidang media berkenaan, Dato' Hamidin mengumumkan bekas pengurus pasukan Selangor musim 2004-2008, Dato' Dr Mohamad Satim Diman dilantik sebagai penolong pengurus skuad kebangsaan untuk kempen Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019.
 
 Turut diumumkan, senarai akhir 23 pemain yang menyaksikan lapan pemain digugurkan Dollah iaitu dua penjaga gol, Zamir Selamat dan Izham Tarmizi Roslan, Ronny Harun dan Norshahrul Idlan Talaha yang mengalami kecederaan serta Azmi Muslim, Christie Jayaseelan, S Chanthuru dan Aidil Zafuan Abd Radzak.
 
 Selepas bertemu Hong Kong, skuad Harimau Malaya bakal menghadapi dua perlawanan awal Kumpulan A bagi saingan Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 bertemu Timor Leste (11 Jun) dan Palestin (16 Jun), kedua-duanya di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
 
KOMEN PENGURUS SKUAD KEBANGSAAN, DATO' HAMIDIN MOHD AMIN
 
"Untuk kempen Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019, kami sebulat suara melantik Safiq Rahim sebagai ketua pasukan dan Indra Putra Mahayuddin sebagai penolong ketua pasukan.
 
 "Mengenai pelantikan Dato' Satim, ada beberapa sebab antaranya beliau pernah menjadi pengurus Selangor dan memiliki pencapaian baik. Saya juga mengenalinya dengan rapat dan Dollah pun ada 'chemistry' dengannya.
 
 "Dengan pengalaman dimiliki Dato' Satim, saya percaya beliau mampu membantu saya dan pasukan. Yang penting, beliau berminat dan tinggal di Kuala Lumpur. Jadi beliau boleh memberi sepenuh komitmen dari segi masa dan segala aspek.
 
 "Saya masih ada satu kekosongan untuk jawatan penolong pengurus pasukan dari kalangan bekas pemain kebangsaan. Saya masih menilai beberapa calon dan akan berbincang dengan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah."
 
KOMEN JURULATIH KEBANGSAAN, DOLLAH SALLEH
 
"Saya terpaksa gugurkan Norshahrul Idlan kerana dia mengalami kecederaan pergelangan kaki sewaktu sesi latihan, petang semalam. Mengikut laporan fisioterapis pasukan, dia mengambil masa dua minggu untuk pulih dan sebab itu dia terpaksa diketepikan untuk dua aksi awal ini.
 
 "Agak terjejas sedikit perancangan saya di bahagian serangan kerana saya bercadang menggandingkan Norshahrul dan Afiq Azmi. Tapi saya masih ada Amri Yahyah dan Safee Sali untuk menggantikan tempat Norshahrul.
 
 "Untuk perlawanan bertemu Hong Kong ini, biarpun saya belum mendapat kesebelasan terbaik kerana tempoh latihan minggu ini lebih menumpukan pemilihan 23 pemain terakhir, saya harap kesebelasan yang diturunkan akan beri yang terbaik kerana ia melibatkan mata ranking.
 
 "Skuad 23 pemain ini sebenarnya sama kekuatannya seperti skuad Piala Suzuki AFF 2014 tetapi kali ini, konsep latihan diterapkan berbeza selepas saya dan barisan kejurulatihan berguru di Jepun, tempoh hari."
 
KOMEN JURULATIH HONG KONG, KIM PAN-GON
 
"Rabu lalu kami bertemu Felda United FC (menang 2-1) dan ia simulasi untuk aksi sulung kelayakan bertemu Bhutan (11 Jun) dan bertemu Malaysia ini, ia umpama simulasi aksi kedua kelayakan bertemu Maldives (16 Jun).
 
 "Jadi kami akan turunkan kesebelasan simulasi bertemu Maldives untuk aksi malam esok. Kami hormati pasukan Malaysia, mereka pastinya sama atau lebih kuat daripada Maldives. Sudah tentu ujian baik buat kami.
 
 "Ini salah satu persiapan, jadi kami tidak mahu beri tekanan terlalu tinggi untuk pemain mendapatkan keputusan perlawanan tetapi lebih untuk membentuk kombinasi di kalangan pemain menjelang aksi sebenar kelayakan."
J Category: 
uncategorised7