SIDANG MEDIA PRAPERLAWANAN AKHIR PERTAMA PIALA PRESIDEN 2016, KELANTAN LWN T-TEAM

2016-10-17

Menjelang Perlawanan Akhir Pertama Piala Presiden 2016 antara Kelantan dan T-Team di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Selasa, 18 Oktober 2016, satu sidang media praperlawanan telah berlangsung di stadium berkenaan, hari ini.

 Sidang media berkenaan telah dihadiri ketua jurulatih Kelantan, Hashim Mustapha dan ketua pasukan, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed serta ketua jurulatih T-Team, Nafuzi Zain dan ketua pasukan, Muhammad Aqil Irfanuddin Mohd Sabri.

 Kelantan selaku juara bertahan menamatkan saingan Kumpulan A di tangga teratas sebelum meneruskan kecemerlangan itu pada saingan kalah mati dengan menyingkirkan pasukan tangga keempat Kumpulan B, Pahang di suku akhir dan seterusnya naib juara Kumpulan B, Selangor di separuh akhir.

  T-Team pula sekadar muncul tangga ketiga Kumpulan B sebelum bangkit cemerlang mengatasi naib juara Kumpulan A, JDT III di suku akhir disusuli kejayaan mengatasi juara Kumpulan B, Perak di separuh akhir.

 Perlawanan Akhir Pertama Piala Presiden 2016 menyaksikan Kelantan bertindak sebagai tuan rumah dengan sepak mula perlawanan jam 8.45 malam esok.

 Tiket RM20 (astaka), RM10 (terbuka) dan RM5 (kanak-kanak) akan mula dijual di kaunter tiket stadium, jam 2 petang esok. Perlawanan turut akan disiarkan secara langsung di Astro Arena, Saluran 801 dan 802 HD.

 Sementara Perlawanan Akhir Kedua Piala Presiden 2016 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada Selasa depan, 25 Oktober pula akan menyaksikan T-Team bertindak sebagai tuan rumah.

 Berikut komen Hashim dan Nafuzi pada sidang media, hari ini menjelang Perlawanan Akhir Pertama Piala Presiden 2016, malam esok:

 

KOMEN KETUA JURULATIH KELANTAN, HASHIM MUSTAPHA

"Alhamdulillah, pasukan yang serba kekurangan ini berjaya juga melangkah ke final. Ia satu bonus. Sudah pasti kita nak kekalkan trofi Piala Presiden ini di Kelantan.

 "Tekanan saya rasa macam biasa saja. Kita akan cuba mencari bekalan pada aksi pertama di tempat sendiri ini supaya lebih selesa untuk menghadapi aksi kedua di tempat lawan nanti.

 "Persiapan pasukan juga seperti biasa saja. Kita sudah sampai ke peringkat ini. Cuma pemain perlu bersiap sedia dari semua segi.

 "Tiada masalah kecederaan serius. Cuma kita tak dapat menurunkan barisan terbaik kerana Shahrul Hakim Rahim masih dalam proses pemulihan dan kapten yang kita rindui, Faris Shah Rosli yang sudah tujuh perlawanan tidak bersama kami kerana tidak mendapat pelepasan daripada pihak pengurusan (skuad Liga Super Kelantan).

 "Pada awal musim, kita ada mengadakan perlawanan persahabatan dengan T-Team di mana kita menang di sana tetapi mereka menang di sini. Kalau ikutkan peluang kedua-dua pasukan 50-50.

 "Bagi saya, tiada masalah kita memegang status selaku juara bertahan. Cuma pada saya, pemain yang pernah beraksi pada final tahun lalu, mungkin mereka mahu cipta satu lagi sejarah mengekalkan kejuaraan dua tahun berturut-turut."

 

KOMEN KETUA JURULATIH T-TEAM, NAFUZI ZAIN

"Aksi final pertama esok, ada dua misi iaitu Kelantan mahu mempertahankan kejuaraan manakala T-Team mahu memburu kejuaraan pertama.

 "Secara peribadi bagi saya, satu perlawanan yang pasti menarik kerana ia pertembungan antara saya dan Kelantan kerana kami mencipta kejuaraan bersama pada tahun lalu manakala T-Team merupakan pasukan baharu saya musim ini. Mungkin pertembungan yang dinanti terutama penyokong Kelantan.

 "Bagi saya, pasukan kami nampak tidaklah terlalu ghairah. Kita persiapkan pasukan sama seperti menghadapi perlawanan lain. Kita hormati Kelantan dari segi pemain mereka yang lebih berpengalaman beraksi di final berbanding pemain kami.

 "Peluang sama rata tetapi kelebihan mungkin berpihak kepada Kelantan yang kebanyakan mereka adalah pemain didikan saya musim lalu yang mana pemain tersebut mungkin lebih baik tahun ini selepas dibimbing jurulatih lebih berpengalaman, Hashim Mustapha.

 "Bagi saya, beraksi di tempat lawan terlebih dahulu atau di tempat sendiri terlebih dahulu tiada bezanya. Kita pernah juga main di tempat sendiri dan kalah serta main di tempat lawan dan menang. Apa yang penting, cara kita beraksi pada hari perlawanan nanti."