SIDANG MEDIA PRAPERLAWANAN MALAYSIA LWN AFGHANISTAN

Berikut butiran sidang media praperlawanan yang berlangsung di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini.

 Ia menjelang perlawanan persahabatan antarabangsa "A" antara Malaysia bertemu Afghanistan di Stadium Shah Alam pada esok (Selasa, 11 Oktober 2016), sepak mula jam 8.45 malam.

 Sidang media berkenaan dihadiri ketua jurulatih kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee dan penolong ketua pasukan Malaysia, Baddrol Bakhtiar serta ketua jurulatih Afghanistan, Petar Segrt dan kapten mereka, Faysal Shayesteh yang juga pemain import Pahang.

 Malaysia kini di tangga ke-158 dunia dalam kedudukan ranking terbaharu FIFA manakala Afghanistan di tangga ke-149.

 Bagi penyokong yang ingin menyaksikan perlawanan ini, tiket akan mula dijual di kaunter tiket Stadium Shah Alam bermula jam 5.00 petang esok sehingga perlawanan bermula dengan harga RM30 (dewasa) dan RM5 (kanak-kanak bawah 12 tahun).

 

KOMEN KETUA JURULATIH MALAYSIA, DATUK ONG KIM SWEE

"Keadaan pemain selepas pulang dari Singapura nampak semakin baik. Hanya Khairul Helmi Johari dan Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham mengalami kecederaan manakala pemain lain dalam keadaan cukup baik.

 "Harapan saya untuk perlawanan Afghanistan ini sentiasa sama. Pada masa yang sama, saya mahu para pemain faham mengenai konsep dan pendekatan taktikal pasukan.

 "Itu yang lebih penting untuk membina pasukan ini dengan baki satu lagi perlawanan persahabatan menentang Papua New Guinea, bulan depan.

 "Mengenai pasukan Afghanistan, kita tahu yang pasukan dari Timur Tengah ini mempunyai kekuatan yang boleh dikatakan seimbang. Kita boleh lihat pemain mereka beraksi di liga Eropah. Biarpun di divisyen tiga atau empat, sudah tentu mereka satu pasukan yang cukup kuat.

 "Apa yang saya lihat dari perlawanan mereka sebelum ini bertemu Lebanon dan Singapura, mereka sebuah pasukan yang cukup seimbang di setiap posisi.

 "Jadi saya akan tetap menggunakan apa cara taktikal yang perlu. Saya mahu semua pemain tahu apa yang perlu kita lakukan untuk mendapatkan keputusan baik pada perlawanan ini.

 "Yang penting, kita bukan saja mahu mendapatkan keputusan tetapi juga perlu menunjukkan corak permainan lebih baik berbanding ketika bertemu Singapura, Jumaat lalu.

 "Seperti yang saya katakan, saya perlu memberi peluang kepada semua pemain untuk menarik perhatian saya. Saya takkan panggil lagi 30 pemain untuk kem latihan pusat terakhir dengan hanya 25 pemain akan dipanggil sebelum 23 pemain didaftarkan ke Piala Suzuki AFF 2016.

 "Jadi perlawanan esok adalah tempoh terakhir untuk pemain mempamerkan kemampuan masing-masing. Tapi pada masa yang sama, saya tak boleh menukar keseluruhan pasukan kerana saya perlu menurunkan barisan seimbang."