Sidang media praperlawanan Malaysia lwn Bangladesh

Berikut butiran sidang media praperlawanan yang berlangsung di Wisma FAM, Kelana Jaya, pagi tadi.
 
 Ia menjelang perlawanan persahabatan antarabangsa A, Malaysia lawan Bangladesh di Stadium Shah Alam, 8.45 malam esok (Sabtu, 29 Ogos 2015).
 
 Hadir pada sidang media berkenaan ialah ketua jurulatih skuad kebangsaan Malaysia, Dollah Salleh dan ketua pasukan, Safiq Rahim serta ketua jurulatih Bangladesh, Lodewijk de Kruif dan ketua pasukannya, Mamunul Islam.
 
 Perlawanan persahabatan ini sebagai persiapan Malaysia sebelum dua perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 menentang UAE di Abu Dhabi, 3 September dan bertemu Arab Saudi di Shah Alam, 8 September.
 
 Bagi Bangladesh pula, mereka dalam persiapan untuk perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 bertemu Australia di Perth, 3 September dan bertemu Jordan di Dhaka, 8 September.
 
 Malaysia kini di tangga ke-168 dunia manakala Bangladesh di tangga ke-170 dunia.
 
 
KOMEN JURULATIH MALAYSIA, DOLLAH SALLEH
 
"Memang keadaan agak sukar kerana pemain yang melapor diri kali ini nampak dalam keletihan. Tapi apa cara sekali pun, kami mahu mendapatkan semula keyakinan pemain menerusi perlawanan ini. Itu tujuan sebenar.
 
 "Apa pun, kami tak boleh ambil mudah dan perlu membuktikannya di atas padang. Saya tak mahu apa yang berlaku ketika bertemu Palestin (dibelasah 6-0) berulang. Kami mahu buat yang terbaik. Insya-Allah.
 
 "Kami sebenarnya tak dapat juga melakukan persiapan yang banyak kerana pemain JDT pun baru melapor diri semalam. Apa pun, saya mahu pemain lebih fokus dan mendapatkan semula rentak dan corak permainan ketika kami muncul naib juara Piala Suzuki AFF 2014.
 
 "Untuk perlawanan esok, saya mahu jadikan ia persiapan bagi dua aksi kelayakan bertemu UAE dan Arab Saudi. Jadi sebagai permulaan perlawanan, saya tetap akan menggunakan pemain JDT biarpun mereka nampak keletihan. Kalau boleh, mereka akan bermain sekurang-kurangnya 45 minit.
 
 "Kami tak boleh anggap mudah pasukan Bangladesh biarpun skuad B-22 negara (kendalian Razip Ismail) dua kali menewaskan mereka pada Piala Emas Bangabandhu, awal tahun ini. Saya percaya, mereka juga pasti membuat persiapan untuk aksi kelayakan.
 
 "Memang posisi serangan menjadi kesukaran untuk saya menyenaraikan pemain. Untuk kali ini, saya akan menggunakan khidmat Nor Farhan Muhammad serta S Kumaahran dan Faiz Subri. Saya percaya, Amri Yahyah juga dapat memainkan peranan penting membantu penyerang yang kita ada berdasarkan pengalamannya."
 
 
KOMEN KAPTEN MALAYSIA, SAFIQ RAHIM
 
"Tidak dinafikan sesetengah pemain agak keletihan tetapi bagi saya, ini adalah tanggungjawab kami sebagai pemain. Kami perlu serius menghadapinya kerana kita ada misi penting. Kami tak mahu lagi mendapat keputusan negatif dalam misi kita layak ke Piala Asia 2019.
 
 "Sebagai pemain, sudah tentu saya harap prestasi baik bersama JDT musim ini dapat diteruskan dengan kecemerlangan bersama pasukan kebangsaan. Saya akan beri sepenuh komitmen bersama pasukan negara dan mengharapkan sokongan rakan-rakan bagi meneruskan konsistensi bersama pasukan negara.
 
 "Lupakan seketika pasukan negeri dan kelab, kami semua perlu fokus kepada pasukan negara. Persiapan kali ini lebih serius. Saya harap dapat bekerjasama dengan rakan sepasukan lain untuk mencapai misi kami dalam saingan kelayakan."
 
 
KOMEN JURULATIH BANGLADESH, LODEWIJK DE KRUIF
 
"Bagi kami, perlawanan bertemu Malaysia ini sebagai persiapan sebelum menghadapi Australia. Kami rasa cukup gembira dapat singgah beraksi di sini dan detik terbaik bertemu lawan kuat seperti Malaysia biarpun cara mereka bermain berbeza dengan Australia nanti.
 
 "Tapi bagi kami, ini persiapan yang baik. Menang, seri atau kalah tak penting bagi kami. Yang paling penting ialah untuk kami menguji taktikal dan tahap kecergasan pemain sepanjang 90 minit.
 
 "Saya mengetahui corak permainan Malaysia kerana kami pernah berdepan skuad B-22 mereka pada Piala Emas Bangabandhu. Ketika itu, pengalaman buruk bagi kami apabila tewas kepada mereka di final."
 
 
KOMEN KAPTEN BANGLADESH, MAMUNUL ISLAM
 
 "Saya turut beraksi berdepan skuad B-22 Malaysia tempoh hari. Kami bermain baik tetapi malangnya ketinggalan 2-0 pada babak pertama. Kami bangkit membalas dua gol pada babak kedua dan memiliki peluang untuk menang, tapi dibolosi gol ketiga ketika permainan berbaki 10 saat."
J Category: 
uncategorised7