SIDANG MEDIA PRAPERLAWANAN MALAYSIA LWN TIMOR-LESTE

2016-06-01 

Berikut komen ketua jurulatih kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee pada sidang media praperlawanan yang berlangsung di Hotel Double Tree by Hilton, Johor Bahru, tengah hari tadi.

 Ia menjelang perlawanan pertama Play-Off 1 Kelayakan Piala Asia 2019 antara Malaysia bertemu Timor-Leste di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Larkin, 8.45 malam esok (Khamis, 2 Jun 2016).

 Hadir sama pada sidang media berkenaan ialah ketua pasukan Harimau Malaysia, Aidil Zafuan Abd Radzak serta ketua jurulatih Timor-Leste, Fabio Joaquim Maciel da Silva dan pemain tengahnya, Junior Aparecido Guimaro de Souza.

 Malaysia kini di ranking ke-174 dunia manakala Timor-Leste di tangga ke-175.

 

KOMEN KETUA JURULATIH MALAYSIA, DATUK ONG KIM SWEE

"Mengenai formasi, kebiasaannya boleh jadi 4-1-4-1, 4-4-2, 4-2-3-1 atau 4-3-3. Tapi yang mustahak, ketika bermain sistem ini akan berubah dan itu perkara biasa, bukan saja kepada pasukan kita, malah kepada mana-mana pasukan apabila mereka menyerang dan bertahan. Jadi sistem yang akan digunakan terpulang kepada kedudukan ketika perlawanan esok.

 "Tanpa Safiq Rahim yang terpaksa diketepikan terus kerana kecederaan, saya mempunyai beberapa pemain yang boleh mengisi posisinya di bahagian tengah seperti Amirulhadi Zainal, Amirul Hisyam Awang Kechik, Abdul Latiff Suhaimi, Brendan Gan, Junior Eldstal, Ahmad Fakri Saarani dan juga Baddrol Bakhtiar.

 "Saya percaya ia tidak akan menjadi masalah besar jika berdasarkan pemain-pemain yang kita ada. Saya yakin mereka akan dapat melakukan persembahan lebih baik esok.

 "Pada masa sama, perlu diingat bahawa kita tidak dibolosi sebarang gol dalam dua aksi persahabatan terakhir. Jadi untuk perlawanan esok, kita tetap perlu berwaspada untuk tidak dibolosi kerana peraturan gol di tempat lawan diguna pakai.

 "Jadi selagi kita tidak dibolosi dan pada masa sama dapat memperbaiki sentuhan penyudah kita, saya percaya kita mampu untuk mendapatkan keputusan yang baik esok.

 "Timor-Leste saya anggap pasukan yang sama kekuatan dengan kita dengan kemasukan beberapa pemain naturalisasi. Ia pasti akan tetap menjadi satu perlawanan yang sukar kerana Timor-Leste sekarang jauh berbeza dengan Timor-Leste 10 tahun yang lalu.

 "Untuk mencapai kemenangan, kita perlu melakukan segala-galanya yang boleh terutama dengan kelebihan beraksi di laman sendiri. Jaringan gol cukup penting. Saya percaya jika kita beraksi mengikut perancangan, jaringan gol akan hadir."