SIDANG MEDIA PRAPERLAWANAN SKUAD PROJEK SUKAN SEA 2017 LWN FILIPINA B-22

2016-03-22

Berikut butiran sidang media praperlawanan yang berlangsung di Klana Resort Seremban, hari ini.

Ia menjelang aksi persahabatan sulung skuad Projek Sukan SEA 2017 kendalian Frank Bernhardt, menentang Filipina B-22 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Rabu, 23 Mac 2016, sepak mula 9.00 malam.

Hadir pada sidang media berkenaan ialah ketua jurulatih, Frank Bernhardt dan kapten, Mohamad Faris Shah Mohd Rosli serta ketua jurulatih Filipina B-22, Dan Padernal bersama kapten, Richard Talaroc.

KOMEN KETUA JURULATIH SKUAD PROJEK SUKAN SEA 2017, FRANK BERNHARDT 

 "Pemain yang baru melaporkan diri juga pernah bermain dengan pasukan masing-masing jadi mereka sudah biasa dan tak perlu latihan lama, cuma mereka perlu fahami sistem dan taktik yang kami cuba terapkan.

"Kita ada masalah dalam mengadakan latihan pusat apabila ada pemain yang beraksi dalam Piala FA bersama pasukan masing-masing dan kesemua pemain hanya dapat dikumpulkan dua hari.

"Walaupun kami hanya dapat memulakan latihan dengan sebilangan pemain minggu lalu tapi saya tetap positif kesemua pemain dapat mempamerkan aksi terbaik mengikut rentak permainan yang kami mahukan kerana kami mempunyai skuad yang bagus.

"Ini perlawanan penting kerana ia ujian pertama untuk melihat bagaimana pemain-pemain muda ini dapat menunjukkan apa yang mereka belajar daripada perlawanan esok."

KOMEN KAPTEN SKUAD PROJEK SUKAN SEA 2017, MOHAMAD FARIS SHAH MOHD ROSLI

 "Ya, semua pemain baru berkumpul tapi kami akan buat yang terbaik malam esok demi negara. Pemain lain ada yang beraksi dalam Piala FA sebelum ini jadi tidak ada masalah kerana mereka sudah ada pengalaman

 "Bagi saya, kami tidak ada tekanan dan bagi perlawanan pertama esok, kami akan cuba merealisasikan apa yang diterapkan dalam latihan.”

KOMEN KETUA JURULATIH FILIPINA B-22, DAN PADERNAL 

"Pasukan saya baru saja menghadapi empat aksi persahabatan menentang skuad B-19 tahun China, Uzbekistan, Croatia dan kelab Singapura, Tampines Rovers sebelum datang ke Malaysia. 

"Kami datang ke sini bukan untuk bercuti tapi untuk persiapan Sukan SEA. Kami melihat saingan di rantau Asia Tenggara lebih realistik buat kami berbanding Piala Dunia jadi ini adalah langkah permulaan yang baik buat kami.

"Bagi saya, pasukan Malaysia sentiasa mampu memberi tentangan hebat dan saya tahu mereka mempunyai jurulatih dari Jerman. Saya juga sedang belajar kursus kejurulatihan Jerman dan saya tahu mereka memiliki jurulatih bertaraf tinggi.”

KOMEN KAPTEN FILIPINA B-22, RICHARD TALAROC

"Saya yakin kami boleh mengalahkan Malaysia esok kerana semua pemain fokus terhadap perlawanan ini. Memang saya jangkakan perlawanan sengit tapi kami sudah bersedia."