SIRI PERLAWANAN PERSAHABATAN: CHONBURI FC 1 MALAYSIA 6

2016-01-22

Skuad futsal Malaysia kendalian jurulatih Marcelo Serpa membelasah pasukan dari Thailand, Chonburi FC  6-1 pada aksi persahabatan ketiga di Stadium Tertutup Huamark, Bangkok, malam tadi.

Terdahulu pada dua perlawanan persahabatan sebelum ini, Malaysia tumpas 4-6 kepada pasukan tuan rumah, Thailand, Isnin lalu dan tewas 5-8 kepada Jordan, kelmarin.

Amar Ashraf Abu Bakar dan Muhammad Akmal Yazadh Amri muncul wira Malaysia apabila masing-masing meledak dua gol manakala gol-gol lain disumbangkan oleh Akmarulnizam Mohd Idris dan  Mohd Ridzwan Bakri.

Skuad negara bakal meneruskan siri perlawanan persahabatan dan berlepas ke Ho Chi Minh, Vietnam pada hari Sabtu (23 Januari 2016) ini bagi menghadapi dua perlawanan persahabatan menentang Vietnam (25 & 26 Januari 2016).

KOMEN KETUA JURULATIH FUTSAL LELAKI MALAYSIA, MARCELO SERPA

"Kita bermain dengan baik hari ini, terutamanya barisan pertahanan yang gagal untuk menyerlah pada dua perlawanan sebelum ini. Kemenangan ini amat penting untuk meningkatkan moral pemain-pemain bagi menghadapi dua perlawanan di Vietnam. Saya berharap kita dapat mengekalkan tahap permainan seperti ini dan terus menunjukkan peningkatan sehingga Kejuaraan Futsal AFC 2016 kelak."