SIRI PERLAWANAN PERSAHABATAN: THAILAND 6 MALAYSIA 4

2016-01-19

Skuad futsal Malaysia kendalian jurulatih Marcelo Serpa tewas 6-4 kepada Thailand pada aksi persahabatan pertama di Stadium Tertutup Huamark, Bangkok, petang tadi.

Pasukan tuan rumah bermula dengan langkah kanan apabila mendahului 5-0 menerusi dua jaringan sepakan penalti sebelum Akmarulnizam Idris merapatkan jurang pada separuh masa pertama untuk kedudukan 5-1.

Babak kedua, Thailand menambah satu lagi gol sebelum skuad negara bangkit dengan dua gol dijaringkan Saiful Nizam Mohammad Ali diikuti dengan gol keempat yang dijaringkan oleh Khairul Effendy Mohd Bahrin.

Malaysia bakal beraksi pada perlawanan persahabatan kedua menentang Jordan di Stadium Tertutup Navy, Bangkok, esok (20 Januari 2016).

KOMEN KETUA JURULATIH SKUAD FUTSAL LELAKI MALAYSIA, MARCELO SERPA

"Selepas ketinggalan 1-0, saya lihat pasukan kita kehilangan sedikit keyakinan dan pasukan Thailand mendominasi perlawanan pada separuh masa pertama dengan kedudukan 5-1.

"Kita berjaya bangkit dan menunjukkan peningkatan pada separuh masa kedua dari aspek mencipta peluang di hadapan gol dan juga aspek 'pressing' untuk mengganggu rentak pasukan tuan rumah. Walaubagaimanapun, pasukan Thailand berhak untuk menang pada perlawanan hari ini.

"Perlawanan ini juga merupakan perlawanan pertama bagi pasukan kita yang turut membariskan pemain-pemain baharu setelah jangkamasa yang agak panjang di mana saya percaya pasukan kita mampu untuk mempamerkan persembahan yang lebih baik lagi menentang Jordan esok."