Skuad futsal kebangsaan atasi Pilihan KLMK 7-2 pada aksi persahabatan

Skuad futsal kebangsaan kendalian jurulatih Marcelo Serpa mencatat kemenangan 7-2 ke atas pasukan Pilihan Kuala Lumpur MK (KLMK) pada perlawanan persahabatan di Stadium Kompleks Sukan Negara (Panasonic), Shah Alam, malam tadi.
 
 Gol pendahuluan skuad negara menerusi Akmal Yazadh Amri disamakan Pilihan KLMK untuk babak pertama berakhir 1-1.
 
 Babak kedua, skuad negara menambah dua gol menerusi Ahmad Fawzul Hadzir dan Saiful Aula Ahmad  untuk mendahului 3-1.
 
 Pilihan KLMK merapatkan kedudukan 3-2 pada awal babak ketiga, namun skuad negara bangkit  menambah empat lagi gol menerusi jaringan Shamar Fadzil, Qaiser Heshaam Abdul Kadir, Ridhwan Zainal dan Shamsul Akmar Zamri untuk kedudukan akhir 7-2.
 
 Ia perlawanan persahabatan pertama skuad negara sejak berkumpul untuk kem latihan pusat fasa keempat bermula Isnin lalu (22 Jun) membabitkan 20 pemain sehingga Ahad ini (28 Jun).
 
 Kemudian hanya 17 pemain akan dipanggil untuk kem latihan pusat fasa kelima dari 1 hingga 6 Julai.
 
 Seterusnya 14 pemain terakhir akan ke Wellington, New Zealand untuk edisi sulung kejohanan Piala Futsal Komanwel 2015 di Wellington, New Zealand membabitkan empat pasukan - Malaysia, New Zealand, Australia dan Vanuatu dari 10 hingga 12 Julai 2015.
 
 
KOMEN JURULATIH SKUAD FUTSAL LELAKI KEBANGSAAN, MARCELO SERPA
 
"Bagi saya, satu perlawanan dan ujian yang baik untuk skuad futsal kebangsaan kerana Pilihan KLMK dibarisi beberapa pemain asing dari Nigeria, Iran dan Libya serta pemain-pemain tempatan yang baik.
 
 "Kami memang memerlukan perlawanan seperti ini kerana apabila ke New Zealand nanti, kami bakal berdepan New Zealand, Australia dan Vanuatu yang fizikal mereka kuat seperti Iran.
 
 "Apabila berdepan pemain berfizikal seperti perlawanan malam tadi, ia bagus untuk memberi pengalaman kepada para pemain kerana ini yang kurang dihadapi mereka sepanjang liga kebangsaan. Ia juga dapat meningkatkan tahap permainan para pemain.
 
 "Latihan fasa keempat akan berakhir Ahad ini. Kemudian rehat dua hari dan bersambung untuk fasa kelima selama enam hari termasuk satu lagi perlawanan persahabatan bertemu Pilihan IPT Malaysia pada 3 Julai (Jumaat depan) sebelum kami berlepas ke New Zealand pada 6 Julai."
J Category: 
article/futsal