SKUAD FUTSAL LELAKI HARIMAU MALAYSIA KE PULAU PINANG UNTUK AKSI PERSAHABATAN & KEM BINA SEMANGAT

2017-01-09

Skuad futsal lelaki kebangsaan, Harimau Malaysia bertolak ke Pulau Pinang, pagi tadi untuk perlawanan persahabatan menentang Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sebagai persiapan menghadapi Kejuaraan Futsal AFF 2016 di Bangkok, Thailand dari 23 hingga 29 Januari 2017.

 Ketua jurulatih futsal lelaki kebangsaan, Chiew Chun Yong berkata, selain aksi bertemu pasukan yang baru saja melayakkan diri ke Liga Futsal Kebangsaan 2017 itu, kunjungan ke Pulau Pinang selama empat hari turut akan diselitkan dengan program kem bina semangat.

 "Selain perlawanan persahabatan bertemu MBPP pada Selasa (esok), kami turut akan melakukan program bina semangat serta aktiviti fizikal dan latihan di pantai bagi meningkatkan semangat berpasukan dan juga tahap mentaliti para pemain.

 "Selepas kembali ke ibu negara pada Khamis, kami akan menghadapi pula perlawanan persahabatan tempatan terakhir bertemu Pahang di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam pada Jumaat (13 Januari)," kata Chun Yong kepada www.fam.org.my ketika ditemui di Wisma FAM, Kelana Jaya, pagi tadi.

 Sejak dikumpulkan untuk kem latihan pusat bermula 22 Disember lalu, skuad Harimau Malaysia menang kesemua empat perlawanan persahabatan tempatan bertemu UPSI 12-0 (30 Disember), KL Petaling Putra 12-2 (31 Disember), Kuantan Rangers 5-2 (7 Januari) dan Kuala Lumpur TPD 13-0 (8 Januari).

 "Dari satu perlawanan ke satu perlawanan, saya dapat lihat peningkatan yang positif di kalangan pemain.

 "Tapi masih belum mencapai tahap yang saya inginkan kerana secara jujurnya kami memerlukan sedikit masa lagi kerana pasukan ini terdiri daripada gabungan pemain muda dan senior," jelas Chun Yong.

 Skuad Harimau Malaysia bakal berlepas awal ke Bangkok pada Ahad ini (15 Januari) bagi menghadapi tiga perlawanan persahabatan antarabangsa bertemu Chonburi FC, Bangkok FC dan Royal Thai Navy FC sebelum memulakan cabaran pada Kejuaraan Futsal AFF 2016.

 "Tiga aksi persahabatan di Bangkok pada 17, 18 dan 20 Januari ini saya harap dapat membantu pasukan untuk mencapai tahap dikehendaki itu.

 "Dari situ nanti kita boleh lihat di mana tahap kekuatan pasukan kita ini dan sejauh mana para pemain dapat menyesuaikan diri dengan sistem permainan baharu," ujar Chun Yong.

 Dalam pada itu, Chun Yong telah melakukan satu pertukaran dalam senarai 16 pemainnya dengan membawa masuk penjaga gol ketiga, Syafiq Hamzah bagi menggantikan tempat pemain muda, Ikhmal Firdaus (PBMM B-19).

 Skuad futsal Harimau Malaysia bakal membuka kempen Kejuaraan Futsal AFF 2016 bagi saingan Kumpulan B bertemu Indonesia pada 23 Januari diikuti aksi kedua bertemu Laos (24 Januari) dan aksi ketiga bertemu Myanmar (25 Januari).

 Jika layak ke separuh akhir, mereka akan bertemu pasukan dari Kumpulan A yang terdiri daripada Thailand, Brunei dan Timor-Leste pada 27 Januari untuk memburu tempat ke pentas final pada 29 Januari. - FAM

 

SENARAI 16 PEMAIN UNTUK KEM LATIHAN PUSAT MENJELANG KEJUARAAN FUTSAL AFF 2016 DI BANGKOK, 23-29 JANUARI 2017

 

BIL

NAMA

UMUR

PASUKAN

1.

MUHAMMAD AWALUDDIN HASSAN

26

SELANGOR

2.

MOHD KHAIRUL EFFENDY MOHD BAHRIN

30

SELANGOR

3.

SAIFUL AULA AHMAD

25

SELANGOR

4.

MOHD SYAFIQ HAMZAH

26

SELANGOR

5.

AZRUL HADEE MOHD TAUFIQ

30

FELDA UNITED

6.

SAIFUL NIZAM MOHAMAD ALI

26

FELDA UNITED

7.

MOHD AZWANN ISMAIL

25

FELDA UNITED

8.

MUHAMMAD AZRI RAHMAN

23

FELDA UNITED

9.

ABU HANIFFA HASSAN

26

FELDA UNITED

10.

MOHD FIRDAUS RAZALI

33

MPSJ

11.

SYED AIZAD DANIEL SYED NASIR

21

MPSJ

12.

MUHAMMAD AIDIL SHAHRIL ROSLI

20

MPSJ

13.

AKMARULNIZAM MOHD IDRIS

26

PAHANG

14.

MOHD RIDZWAN BAKRI

23

SABAH

15.

MUHAMMAD AMIRUL SUGITO

20

KUALA LUMPUR

16.

MOHD AWALLUDIN MAT NAWI

19

PERAK